Tuesday, 4 March 2014
Mengenang Almarhum Ust Rasidi Yasin
Mengenang Almarhum Ust Rasidi Yasin
Semangat perjuangan para syuhada' Palestin masih membara. Ditambah dengan simbahan darah syuhada' bumi Syam dan Mesir. Ini belum dikira darah para pejuang Fatani, Rohingya dll. Ia semakin tersentuh dengan pemergian orang-orang terdekat denganku.
Bermula dengan permergian rakan sebaya di Kolej Islam Klang Almarhom Us. Rasidi Yasin @ Mundok.... Senyumannya sangat segar. Tingkah laku mulianya masih ku terkenang-kenang.
Tiba-tiba, datang berita bonda yang pergi tanpa isyarat. Isyarat pemergiannya pernah ku terima, seolah-olah ia akan pergi beberapa minggu lepas.
Namun dia bangkit semula dengan gagah. Kami berbual-bual.
Ahad minggu lepas, sempat kami menyuapkan dua biji tamar medjoul. Dia tersenyum puas. Sebaik sahaja keluar dari hospital kerana jatuh tempoh hari pun, dia meratah seketul ayam di meja makan bersama kami.
Jam 6 petang sabtu baru-baru ini bonda masih berbual dengan kakak, sebelum itu dia berbual-bual menalefon pembantu runmahnya untuk masak itu dan ini, tiba-tiba dia mengadu sakit dada dan terus terkulai layu buat selamanya jam 6.15 petang di hadapan kakak. Begitu mudah dan tenang dia pergi.
Pada sebelah petang hari pengebumian, kami berbuka bersama keluarga besar. Berterawih anak beranak ramai-ramai. Malamnya masing-masing beredar ke destinasi masing-masing.
Malam itu 27 Ramadhan,aku dan keluarga bertekad untuk beriktikaf dalam perjalanan pulang ke Bangi meninggalkan Batu Pahat dua pusara ayahanda dan bonda.
Kami berazam untuk iktikaf di masjid yang hampir dengan highway perjalananan kami. Sudah tentu makam Datok Dol Said di Tabuh Naning paling hampir dengan exit Simpang Ampat.
Iktikaf di Masjid yang dinisbahkan dengan pejuang menentang penjajah British.
Almarhom telah membunuh 40 tentera penjajah yang cuba menangkapnya. Mengenang sejarah tersebut, membuatkan bersemangat membaca ayat-ayat jihad pada malam itu.
Kesayuan terkenang bonda masih segar. Kesayuan mengenang sahabat Almarhom Us. Rasidi masih segar. Kesayuan kehilangan sahabat Rengit Yusuf Syawal masih segar ketika aku berbisik dengannya, masih ingat saya? Kita pernah bersama di Rengit? Dia mengangguk tersenyum, walau nafasnya tercungap-cungap.
Kesunyian malam iktikaf itu semakin syahdu bila menerima berita perginya sahabat Rengit seorang lagi. Abd Rahman Mohd Nor.
Beliaulah antara mereka yang mengheretku membetis dari rumah ke rumah di sekitar Rengit, tak kira ketika banjir paras betis atau panas terik di bulan Ramadhan.
Dia membuatku hilang rasa malu bimbang dan segan ketika menziarahi rumah orang-orang yang tidak ku kenali.
Senda guraunya menghilangkan panas baranku ketika dihina oleh beberapa tuan rumah yang tidak sudi menerima kunjungan kami.
Dia membawaku ke rumah pesakit-pesakit di Rengit. Dia mempelawaku untuk menerima buah tangan seperti ayam serama, telur ayam kampung, durian, duku, pisang, kelapa dan ubi kayu.
Masih segar dalam ingatan, dia mentertawakan aku ketika menguji ku mengupas sabut kelapa. Gurauannya "orang bandar balik ke kampung".
Asar semalam dia tidak mahu meninggalkan kuliah asar di masjid Bagan, Rengit. Bisiknya kepada sang isteri, tidak mahu meninggalkan, kuliah takut-takut itu kuliah terakhirnya .
Waktu malam dia masih sempat mengimamkan solat isya' di Balai Islam Bagan. Sempat menjadi ma'mum dengan sempurna pada dua rakaat pertama terawih.
Katanya, pada ketika bangkit dari sujud kedua dari rakaat pertama pada pusingan terawih kedua, dia tewas untuk menyempurnakan rakaat keduanya itu. Menggagahkan diri, dia terus sujud dan terkulai dalam sujudnya.
Ketika didudukkan oleh para ma'mum selepas salam, diurut-urut belakangnya, dia mula bernafas sempurna kembali, dan terus menerkam untuk sujud lagi....
Beliau dikejarkan ke klinik kesihatan Rengit. Setelah mendapat injection , beliau kelihatan segar kembali dan meminta untuk dibawa ke hospital.
Sepanjang perjalanan beliau masih boleh berbual mesra. itulah sahabat saya Abd Rahman Mohd Nor.
Saya dan keluarga yang bercadang ingin meneruskan perjalanan ke Bangi setelah iktikaf di Masji Dol Said, berpatah balik ke Rengit untuk terus membatalkan agenda besar saya di Kuala Lumpur.
Menatap wajahnya buat kali terkhir, bersama dalam solat jenazah. menurunkan kerandanya ke liang lahad , menimbuskannya dan mendoakannya lebih penting dari tugas saya hari ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment