SEPANG - Misi bantuan Aqsa Syarif ke Gaza yang ke-8 (A2G8) berjaya mengagihkan bantuan berjumlah RM2.5 juta kepada rakyat Palestin.
 
Ketua misi Prof. Madya Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus berkata 38 sukarelawan termasuk tiga wartawan memulakan misi pada 14 Ogos lepas dan mengagihkan bantuan kepada anak yatim dan fakir miskin serta menjalankan projek membangun semula Gaza meliputi sektor makanan, kesihatan, pendidikan dan sosioekonomi.
 
"Kami juga meninjau projek-projek yang dijalankan oleh Aqsa Syarif sebelum ini seperti projek ternakan lembu susu, ikan, kilang roti dan pinjaman mikro-kredit.
 
"Kami pergi ke sana bukan melancong tetapi kami mahu memastikan projek berjalan lancar dan memanfaatkan rakyat Palestin," katanya kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.
 
Hasanuddin berkata misi bantuan Ramadan dan Syawal itu berjalan dengan lancar dan pemimpin dan rakyat Palestin berterima kasih kepada rakyat Malaysia.

"Kami telah mengenal pasti beberapa projek yang boleh dilakukan untuk memastikan Gaza terus membangun seperti Malaysia. Kami akan cadangkan kepada Lembaga Aqsa Syarif agar mereka membuat keputusan.
 
"Kami mahu Gaza sentiasa mendapat sokongan daripada rakyat dan kerajaan Malaysia. Ini adalah tanggungjawab bersama," katanya.
 
Projek Aqsa Syarif Ramadan dan Syawal Palestin tahun ini meliputi projek bantuan khas Ramadan dan Eidul-Fitri Palestin termasuk iftar (juadah berbuka puasa), pek makanan/hadiah, projek sumbangan set beg sekolah berserta uniform, dan pembelian ubat-ubatan yang disalur kepada Kementerian Kesihatan Gaza. - Bernama