Tuesday, 19 January 2016

JANGAN BIARKAN PEMERINTAH MENGANIAYA SI LEMAH



JANGAN BIARKAN PEMERINTAH MENGANIAYA SI LEMAH


Seorang sahabat, Jaafar r.a menceritakan kepada Rasulullah s.a.w: "Saya telah melihat seorang wanita membawa bekas berisi makanan di atas kepalanya, lalu datang seorang penunggang kuda melintasinya dan menyebabkan bekas itu tertumpah.

Wanita itupun terduduk sambil mengumpulkan makanannya, kemudian dia berpaling sambil berkata:

"Celakalah kamu, apabila Allah Yang Maha Berkuasa telah meletakkan kerusi-Nya, dia akan mengambil hak mereka yang dizalimi daripada yang menzaliminya”.

Hati Rasulullah s.a.w tersentuh dengan cerita ini, lalu bersabda sebagai membenarkan kata-kata wanita ini:

" لا قُدِّسَتْ أُمَّةٌ لا يَأْخُذُ ضَعِيفُهَا حَقَّهُ مِنْ شَدِيدِهَا وَهُوَ غَيْرُ مُتَعْتَعٍ"

"Tidak akan dimuliakan umat yang mana golongan lemah tidak dapat mengambil haknya daripada mereka yang kuat dalam keadaan dia tidak tertindas”.

Berdasar sirah Rasulullah s.a.w ini, maka tidak wajar kita membiarkan seseorang dianiaya dan tidak mendapat mengambil haknya dari orang yang menzaliminya.

Hari ini rakyat terasa dianiaya. Mereka dipaksa membayar GST yang sebenarnya tiada sebab Kerajaan UMNO/BN untuk melakukan demikian, melainkan kita ditipu dengan isu 1MDB dan RM2.6B.

Harta dan aset negara terlepas dari kita satu persatu dan kita tidak mampu menghalangnya.
Kita benar-benar tertipu.

Apabila membaca hadis berikut pula bertambah gerun kita kepada Allah s.w.t.

مَا مِنْ عَبْدٍ يَسْتَرْعِيْهِ اللهُ رَعِيَّةً يَمُوْتُ يَوْمَ يَمُوْتُ وَهُوَ غَاشٍّ لِرَعِيَّتِهِ إِلاَّ حَرَّمَ اللهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ

"Tiada (pemimpin) yang diamanahkan oleh Allah s.w.t. untuk memimpin rakyatnya, kemudian ketika dia mati dalam keadaan dia telah menipu rakyatnya (berlaku tidak adil), maka Allah pasti akan mengharamkan baginya syurga".

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Lantaran inilah Parti AMANAH Negara muncul untuk memastikan penganiayaan seperti ini dihentikan dan kemurkaan Allah kepada ummah tidak berpanjangan.

Kerajaan UMNO/BN yang mengkhianati negara perlu ditukar kepada kerajaan baru.

Sebarang usaha mana-mana ulama atau parti politik lain untuk menjalin hubungan dengan UMNO/BN atas alasan yang tidak jelas, adalah dikira tertipu dengan kelicikan helah parti yang cuba menutup kezalimannya itu.

Bagi kita umat Islam yang baru meraikan Maulidur-Rasul, kita perlu ingat bahawa keperitan hidup Rasulullah s.a.w masa kecil, menjadi yatim piatu, dibesarkan oleh Abu Talib yang tidak sekaya mana, menjadikan Rasulullah s.a.w sensitif kepada kesusahan orang lain dan menjadi pembela orang yang teraniaya.

Akhlak dan sifat perjuangan seperti ini harus diwarisi oleh setiap umat Islam.

Syukurlah rakyat sedang bangkit untuk bersama Parti AMANAH Negara dan PAKATAN HARAPAN dalam melakukan perubahan besar ini. Semoga Allah s.w.t merahmati usaha kita bersama.

USTAZ HAJI HASANUDDIN MOHD YUNUS 

Naib Presiden Parti AMANAH Negara

Selasa 25 Rabiul Awal 1437H 
6 Januari, 2016.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...