Monday, 30 November 2015
BERBAIK-BAIK DENGAN BUKAN ISLAM ADALAH TUNTUTAN DAKWAH
BERBAIK-BAIK DENGAN BUKAN ISLAM ADALAH TUNTUTAN DAKWAH
Saya sangat simpati apabila ahli-ahli IKRAM dan beberapa kumpulan pendakwah serta ulama yang berdakwah siang dan malam dituduh dengan pelbagai tuduhan dan fitnah.
Antaranya, mereka dituduh menjadi ejen (keldai) DAP ketika mereka sedang mengadakan "engagement" dengan parti tersebut.
Dalil yang digunakan antaranya:
وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لَا تُنْصَرُونَ
"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim, maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain daripada Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan."
(Hud: 113)
Mari kita lihat apa yang disebut oleh Ibnu Katshir ketika mengulas ayat tersebut.
وقوله "ولا تركنوا إلى الذين ظلموا" قال علي بن أبي طلحة عن ابن عباس: لا تداهنوا وقال العوفي عن ابن عباس: هو الركون إلى الشرك.
وقال أبو العالية لا ترضوا بأعمالهم وقال ابن جرير عن ابن عباس: ولا تميلوا إلى الذين ظلموا وهذا القول حسن أي لا تستعينوا بالظلمة فتكونوا كأنكم قد رضيتم بأعمالهم "فتمسكم النار وما لكم من دون الله من أولياء ثم لا تنصرون" أي ليس لكم من دونه من ولي ينقذكم ولا ناصر يخلصكم من عذابه.
Saya percaya mana-mana gerakan Islam yang pergi bertemu dengan DAP dan kumpulan bukan Islam lainnya, memahami garis panduan al-Quran ketika berinteraksi dengan mereka.
Mereka dengan jelas bertanya kepada diri mereka sendiri sebelum bertemu dengan sesiapa di luar sana:
1. Adakah mereka terlibat dan menyokong perbuatan syirik?
2. Apakah mereka menolong orang-orang zalim?
3. Apakah mereka redha dengan amal-amal buruk masyarakat tersebut?
Kalau ada, memang mereka layak dibakar oleh api neraka.
Tetapi apa yang berlaku, mereka menghargai hasrat DAP dan kumpulan bukan Islam (belum Islam) yang ingin negara diurus secara "good governance" dan telus serta ingin menghapuskan rasuah dan pecah amanah.
Itu adalah hasrat yang baik untuk negara.
Mendengar suara mereka adalah sebahagian daripada usaha mengetengahkan suara Islam.
Sebaik saja mereka melakukan kesilapan, IKRAM bangkit memberi teguran dan penerangan.
Ketangkasan Hj Zaid Kamaruddin Naib Presiden IKRAM begitu terserlah ketika memberi komentar di BH Online pada 16 Jan 2015 terhadap twitter Eric Paulsen yang menimbulkan isu kontroversi dan provokasi yang mendakwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mempromosikan ekstremisme pada setiap Jumaat.
Ini diikuti dengan rencana saya di ruangan Pendapat, Sinar Harian pada 17 Jan 2015 bertajuk: "Pertahan Keharmonian Bumi Malaysia".
Ketika Teresa Kok mempertikai kod pakaian semasa berinteraksi di jabatan-jabatan kerajaan, kami juga memberi teguran kepada beliau secara profesional.
Mendengar serta menerima atau memberi teguran terhadap suara dan pendapat teman-teman dari DAP dan bukan Islam adalah sebahagian tugas rakyat Malaysia, dan IKRAM serta kumpulan pendakwah/ulama lainnya menjadi contoh dalam hal ini.
Saya menyeru ahli-ahli IKRAM untuk terus istiqamah melaksanakan dakwah dan bersabar terhadap "guru-guru agama" yang belum menguasai ilmu dakwah dan berani pula membuat tuduhan melulu seumpama itu.
Ustaz Haji Hasanuddin Mohd Yunus
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment