Monday, 30 November 2015
HALUSNYA JIWA NABI IBRAHIM A.S
HALUSNYA JIWA NABI IBRAHIM A.S
Ketika berhadapan dengan zaman yang penuh cabaran, salah sangka, fitnah dan perancangan musuh yang memecahbelahkan ini, wajar sangatlah kita tingkatkan lagi kehalusan jiwa dan kebergantungan kita kepada Allah SWT.
Kita akhirnya perlu membuat keputusan dalam konflik yang berlaku.
Kita perlu tegas dengan keputusan yang dibuat. Kerana ia dibuat berdasarkan dalil, bukti, hujjah, maklumat dan ianya penuh dengan kebijaksanaan.
Selepas kita tekad, kita perlu serahkan segalanya kepada Allah SWT dan kekal konsisten dengan keputusan yang dibuat.
MELUAHKAN KEPUTUSAN DAN MENYERAHKANNYA KEPADA ALLAH SWT SANGAT PENTING.
Sebagaimana Nabi Ibrahim a.s meluahkan harapan dan doa; namun baginda akhirnya menyerahkan kepada Allah SWT apa yang sewajarnya buat baginda, walaupun berbeza dengan apa yang dipinta.
Nabi Ibrahim a.s memulakan doa agar isteri dan anaknya diurus oleh Allah SWT sepemergiannya ke Palestin menyambung tugas dan amanahnya di sana.
رَبَّنَا إِنِّي أَسْكَنْتُ مِنْ ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ عِنْدَ بَيْتِكَ الْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُوا الصَّلَاةَ فَاجْعَلْ أَفْئِدَةً مِنَ النَّاسِ تَهْوِي إِلَيْهِمْ وَارْزُقْهُمْ مِنَ الثَّمَرَاتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ
"Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.
(Surah Ibrahim 37)
Malah dilafazkan harapan agar anak, isteri dan zuriyat ini selamat terperlihara, menjadi muslim yang mendirikan solat, mereka dapat menarik seberapa ramai manusia dan menyeru mereka kepada Allah akhirnya, makmur meriah dengan pelbagai rezeki dan mereka menjadi umat yang bersyukur.
Itu harapan dan cita-cita yang didoakan.
Dalam pada itupun baginda a.s akhirnya menyerahkan hakikat sebenarnya kepada Allah SWT dengan doa berikutnya:
رَبَّنَا إِنَّكَ تَعْلَمُ مَا نُخْفِي وَمَا نُعْلِنُ ۗ وَمَا يَخْفَىٰ عَلَى اللَّهِ مِنْ شَيْءٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ
"Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau mengetahui akan apa yang kami sembunyikan dan apa yang kami zahirkan; dan tiada sesuatupun di langit dan di bumi, yang tersembunyi dari Allah!
(Surah Ibrahim 38)
Ibnu Katsir dalam tafsirnya menyebutkan Nabi Ibrahim a.s menegaskan dia sebenarnya bermaksudkan ridha Allah yang diburu.
Dia dengan penuh yakin menyebutkan bahawa Allah SWT Maha mengetahui apa yang kita sembunyikan dan apa yang kita laungkan.
Lantaran itu akhir doanya seolah-olah membawa maksud Allah SWT jua lah sasaran harapannya. Sudah tentu Allah SWT jualah yang akan mentaqdirkan sesuatu yang baik buatnya dan zuriyatnya.
Maka dalam dunia perbezaan pendapat, tegaslah setegas-tegasnya tetapi keridhaan Allah SWT jua maksud kita, walau terpaksa berbeza.
Maka:
1. Jangan putuskan persaudaraan
2. Jangan sampai mengkafir atau membodohkan saudara kita
3. Jangan sampai tidak menghormati pandangan, paling tidak kena bersedia dan sabar untuk mendengar
4. Jangan memfitnah saudara kita walau kita tidak suka sikap, pandangan dan perbuatannya
5. Jangan menggelar mereka dengan gelaran yang mereka tidak senangi....
Kekallah menghormati mereka di mana sahaja mereka berada.
قال ابن جرير: يقول تعالى مخبرا عن إبراهيم خليله أنه قال " ربنا إنك تعلم ما نخفي وما نعلن " أي أنت تعلم قصدي في دعائي وما أردت بدعائي لأهل هذا البلد وإنما هو القصد إلى رضاك والإخلاص لك فإنك تعلم الأشياء كلها ظاهرها وباطنها لا يخفى عليك منها شيء في الأرض ولا في السماء.
USTAZ HAJI HASANUDDIN MOHD YUNUS
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment