Tuesday 19 January 2016

MENGUASAI KEMAHIRAN MEMIMPIN ADALAH SEBAHAGIAN TUNTUTAN AMANAH UNTUK PEMIMPIN


MENGUASAI KEMAHIRAN MEMIMPIN ADALAH SEBAHAGIAN TUNTUTAN AMANAH UNTUK PEMIMPIN

Ketika Rasulullah saw ditanya oleh seseorang, bila akan tiba hari kiamat, baginda mengambil masa untuk menjawabnya. Akhirnya, baginda menyebutkan: 

“فإذا ضيعت الأمانة ؛ فانتظر الساعة”

“Apabila dipersia-siakan amanah, maka nantikanlah saatnya.”

Lalu sahabat itu bertanya lagi, bagaimana ia dipersia-siakan?

Jawab Rasulullah saw:

"إِذَا وُسِّدَ الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ ؛ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ"

“Apabila diserahkan urusan kepada mereka yang bukan ahlinya, maka tunggulah saatnya.”

Ibnu Rajab dan beberapa ulama lainnya dalam mensyarahkan hadis ini mengatakan bahawa kiamat tidak akan berlaku melainkan apabila golongan yang tidak layak memimpin diangkat menjadi pemimpin. Lantas pemimpin itu mensia-sia amanah yang diberikan.

Maka berlakulah kerosakan dan huru-hara bagaikan 'kiamat' rasanya.

Apakah peranan dan ciri-ciri pemimpin yang mesti ada agar mereka dapat melaksanakan tugas memimpin dan tidak tergolong dalam golongan memecah amanah apabila dia gagal?

Kadang-kadang ada yang cuba melaksanakan amanah memimpin tetapi rupanya mereka bukan AHLI dalam memimpin.

Kepimpinan adalah proses mempengaruhi ahli-ahli untuk bertindak atau melakukan sesuatu ke arah mencapai objektif bersama.

Berdasarkan kajian para pakar kepimpinan dan pengalaman pemimpin organisasi yang berjaya, antara ciri-ciri yang mesti ada pada pemimpin adalah:

1. Mampu membaca dan menelah masa hadapan.

2. Mempunyai misi dan visi yang jelas.

3. Mampu mengurus perbezaan dan diversiti.

4. Bijak berkomunikasi dan pandai berkawan.

5. Sentiasa bermotivasi dan mampu mendorong orang lain.

6. Bijak menghargai dan mengiktiraf pengikut dan ahli.

7. Tidak mudah terpengaruh atau berubah-rubah.

8. Sudi mendengar dengan baik.

9. Mahir membuat keputusan berdasarkan opsyen-opsyen yang dibina.

10. Pandai mengolah, fasih berbicara dan pintar berdebat atau berhujah.

11. Cepat menghidu helah musuh.

Seorang yang alim dalam agama belum pasti mampu menguasai “tools” dan kemahiran dalam memimpin. Lebih buruk jika pemimpin bidang agama mudah rasa tercabar atau tersinggung apabila ada pengikut-pengikutnya yang lebih berkemahiran dalam memimpin dan cuba membantu.

Sebaliknya, orang yang menguasai ilmu kepemimpinan, biasa sahaja bersedia untuk merujuk dan menerima bimbingan seorang alim dalam bidang agama.

Malaysia kini semakin berpotensi kerana semakin banyak pemimpin organisasi-organisasi Islam yang menjadi pakar berbagai bidang, menguasai “tools” dan kemahiran memimpin, dan pada masa yang sama bersikap terbuka dan bersedia menerima tunjuk ajar daripada ulama dan agamawan.

Apa yang lebih merisaukan ummah adalah keadaan di mana organisasi yang dipimpin oleh ulama tetapi tidak mahu mendengar nasihat ahli, terlalu ego dengan ilmunya, mudah marah, memaki hamun, mungkir janji, tidak pandai berkawan dan bergaul mesra, berubah-rubah pendirian, hatta mudah terperangkap dengan helah musuh.

Tunggulah saat kemusnahan, bahkan keadaan yang kelam-kabut dalam organisasi jika orang-orang seperti itu tidak bersedia untuk dipimpin oleh mereka yang benar-benar berkeahlian dalam kepemimpinan.

Maka lantaran itu Parti AMANAH Negara terus berusaha untuk melahirkan sepasukan para pemimpin negara daripada berbagai kepakaran sama ada pada tahap strategik atau operasional yang bersatu tenaga, demi menukar pimpinan negara yang sudah jauh tersasar melalui satu sistem demokrasi yang telus, bersih dan adil.

Terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana sudi mengenali dan menyokong usaha mulia ini.

Ustaz Haji Hasanuddin Mohd Yunus

Naib Presiden Parti AMANAH Negara

Sabtu 21Rabiul Awal 1437H
2 Januari 2016

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...