Saturday 14 June 2014

Apabila ALLAH reject amalan kita



Takutlah wahai sahabat-sahabat sekelian.

Satu keadaan yang sangat mengerikan. Keadaan dimana amalan dan pengorbanan kita tidak diterima oleh Allah S.W.T.

Malah hati kita tidak dipedulikanNya.

Mungkin sahaja kita tidak IKHLAS atau ia TIDAK MENEPATI SYARIAT atau SUNNAH NabiNya.

Atau jangan hanya berbangga menepati sunnah dan ikut syariatNya sahaja, kerana syaitan akan rosakkan hati kita, hingga hilang dan perginya keikhlasan.

كَمَا لاَ يُحِّبُ العَمَلَ المُشْتَرَكَ، كَذَلِكَ لاَ يُحِّبُ القَلْبَ المُشْتَرَكَ؛ العَمَلُ المُشْتَرَكُ لاَ يَقْبَلُهُ، وَالْقَلْبُ المُشْتَرَكُ لاَ يُقْبِلُ عَلَيْهِ

Sebagaimana Allah tidak menyukai amal yang tidak sepenuhnya terhadapNya, Allah juga tidak menyukai hati yang tidak sepenuhnya terhadapNya. Amal yang tidak sepenuhnya terhadap Allah tidak akan Dia terima sebagaimana hati yang tidak sepenuhnya terhadapNya, hati itu tidak akan diperdulikan.

Just as He does not love the deed possessed of associationism, so similarly He does not love the heart possessed of associationism. As for the deed possessed of associationsim, He does not accept it; and as for the heart possessed of associationsim, He does not draw near to it.


Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus

Gerakan Islam Imam Hassan Al Banna



Ramai yang masih keliru, apakah gerakan Islam seperti yang pernah dipimpin oleh Al Marhom Hasan Al Banna cita-citakan?

Sehingga, semua perkara dikaitkan dangan Gerakan Islam itu.

Terlibat dengan pelbagai penglibatan; maka ia tidak dapat diringkaskan melainkan dengan ringkasan 8 perkara, kerana pada gerakan inilah segala-galanya.

Renungilah petikan ucapan al-Imam dalam Muktamar Ke Lima Gerakan itu:

1. DAKWAH SALAFIAH;

karena mereka berdakwah untuk mengajak kembali (bersama Islam) kepada sumbernya yang jernih dari kitab Allah dan Sunah Rasul-Nya.

2. THARIQAH SUNIYAH;

karena mereka membawa jiwa untuk beramal dengan Sunah Nabi yang suci —khususnya dalam masalah akidah dan ibadah— semaksima mungkin sesuai dengan kemampuan mereka.

3. HAKIKAT SHUFIYAH:

karena mereka memahami bahwa asas kebaikan adalah kesucian jiwa, kejernihan hati, amal berterusan, berpaling dari bergantung kepada makhluk, mahabah fillah dan keterikatan kepada kebaikan.

4. HAI'AH SIYASIYAH:

karena mereka menuntut perbaikan terhadap hukum dan pemerintahan, membetulkan persepsi yang berkaitan dengan hubungan umat Islam

5. JAMA'AH RIYADHIYAH:

karena mereka sangat ambil berat masalah fisikal tubuh badan dan memahami bahwa seorang mukmin yang kuat itu lebih baik daripada seorang mukmin yang lemah

6. RABITHAH 'ILMIYAH TSAQAFIYAH:

karena Islam menjadikan urusan menuntut ilmu sebagai kewajiban bagi setiap muslim dan muslimah.

7. SYIRKAH IQTISHADIYAH:

karena Islam sangat memperhatikan pemilikan harta dan pengagihannya. Inilah yang disabdakan Rasulullah saw.,

“Sebaik-baik harta adalah (yang dipegang) oleh seorang yang shalih."

Penekanan terhadap kepentingan ekonomi

8. FIKRAH IJTIMA 'IYAH:

karena mereka sangat menaruh perhatian pada segala 'penyakit' yang ada dalam masyarakat Islam dan berusaha menterapi dan mengobatinya


Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus

Jangan asingkan diri kalau kita pernah lakukan kesilapan


JANGAN ASINGKAN DIRI KALAU KITA PERNAH LAKUKAN KESILAPAN

Kesedihan, kesilapan, dosa, terlanjur kata semuanya kita cuba hindari.

Namun kadang-kadang kita tetap terlanjur.

Elakkan terlanjur. Namun kalau ia terjadi; bangkitlah untuk bertaubat. Jangan terus berduka nestapa.

Renungi pesanan guru saya Ibnu Athaillah:

رُبَّمَا وَرَدَتِ الظُّلْمُ عَلَيْكَ؛ لِيُعَرِّفَكَ قَدْرَ مَا مَنَّ بِهِ عَلَيْكَ.

Boleh jadi kegelapan mendatangimu agar Allah dapat menyedarkanmu atas kebesaran anugerahNya kepadamu

Sometimes darkness come over you in order that He make you aware of the value of His blessings upon you.

Rahmat Allah S.W.T yang kita rindui mendorong kita untuk terus bangkit walau kita "down" sebentar.


Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus

Tuesday 27 May 2014

Jangan Perkecil Amalan Orang Lain



JANGAN PERKECIL AMALAN ORANG LAIN

Apabila kita melakukan ketaatan; kita wajar bergembira dan bersyukur kepada Allah. 

Gembiranya kita, bukan kerana kita mampu melaksanakannya. Atau kita berjaya melawan hawa nafsu yang cuba menghalang kita mengerjakannya.

Tetapi, gembiranya kita, kerana dengan Rahmat dan Kelebihan Allah S.W.T lah, maka kita dipilih untuk mencipta kejayaan dalam beramal.

Siri-siri kejayaan yang kita cipta, adalah sesuatu yang diatur oleh Allah S.W.T dan dia yang menentukan kejayaan itu di tangan kita.

Dia yang mengatur begitu. Bukan kerana kekuatan dan kelebihan dari kita. Tidak! walau secebis pun bukan dari kita.

Maka berhati-hatilah dalam menilai amalan dan pengorbanan saudara-saudara kita pula.

Di sebalik amalan mereka ada tangan-tangan Allah yang mengatur kejayaan amalan mereka. Jangan kita perkecil amalan orang lain ya.......

لاَ تُفْرِحْكَ الطاَعَةُ لِأَنَّهَا بَرَزَتْ مِنْكَ، وَافْرَحْ بِهَا لِأَنَّهَا بَرَزَتْ مِنَ اللهِ إِلَيْكَ؛ { قُلْ بِفَضْلِ اللهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَلِكَ فَلْيَفْرَحُوْا هُوَ خَيْرٌ مِمَّا يَجْمَعُوْنَ يونس:58

Janganlah ketaatanmu membuatmu gembira semata-mata engkau mempu melaksanakannya, tetapi bergembiralah lantaran ketaatan itu merupakan kurnia Allah kepadamu. “ katakanlah, dengan kurnia Allah dan rahmatNya maka bergembiralah dengannya, Itu lebih baik dari apa yang dikumpulkan”

Let not obedience make you joyous because it comes from you, but rather, be joyous over it because it comes from Allah to you. "Say: In the grace of Allah and in His mercy, in that they should rejoice. It is better than that which they hoard." [Quran 10:58]


Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus

Kemuliaan Ilmu dan Kemuliaan Kuasa


Pernah kami menyebutkan sebuah Hadis Maqtu' yang menceritakan dua kemuliaan.

الشرف شرفان ؛ شرف العلم ، وشرف السلطان ، وشرف العلم أشرفهما

Terdapat dua kemuliaan. Kemuliaan Ilmu dan Kemuliaan Kuasa.
Kemuliaan Ilmu lebih mulia dari dua kemuliaan ini.

Mari sama-sama merangkul kedua kemuliaan ini, agar kita dapat laksanakan Amar Ma'ruf dan Nahi Mungkar.

Dengan dua kemuliaan ini kita tegakkan Hukum Allah S.W.T di atas bumi ini.

Selain berusaha untuk meraih dua kemuliaan ini; mari perbanyakkan doa yang diajar oleh Nabi S.A.W


Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus

Kembalikan Segala Pujian Kepada Maha Pencipta



Kita sering mengadu kepada Allah S.W.T yang kita tidak layak dipuji atas amal kita yang serba lemah dan tidak sempurna.

Namun manusia berdegil menyangka kita hebat dan kita terbaik di kalangan mereka.

Teruskan berusaha untuk mengikis sangkaan itu.

Yang penting, alihkan perhatian kita dari terpukau dengan pujian khalayak dan kekaguman mereka terhadap kita itu, dengan terus menambah pujian kita kepadaNya.

Bertasbih dengan pelbagai tasbih.
Bertahmid dengan pelbagai tahmid.
Bertahlil dengan pelbagai tahlil.
Berhauqalah dan pelbagai pujian buat Ilahi.

Renungkan apa yang dibisikkan oleh Ibnu Athaillah apabila manusia terpukau dengan kita:

إِذَا أَطْلَقَ الثَنَاءَ عَلَيْكَ وَلَسْتَ بِأَهْلٍ، فَأَثْنِ عَلَيْهِ بِمَا هُوَ أَهْلُهُ

Apabila Allah biarkan pujian kepadamu, sedangkan kamu tidak layak dengan pujian itu, maka pujilah Dia (Allah S.W.T) kerana Dialah yang sebenarnya layak untuk itu

When He lets praise of you burst forth, and you are not worthy of it, praise Him for what He is worthy of.


Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus

Meneroka amal


"We never know how far we can fly.....so keep on flying"

Berpesan kepada anak2 muda agar terus meneroka dan berjuang dalam alam Dakwah & Tarbiyah.

Tiada istilah penat dan letih dalam kamus perjuangan. Teruskan pecutan demi pecutan...

Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus

Jangan Mengumpat



Pesanan ke-8 Imam Al-Banna 

Saya tujukan kepada adik-adik yang mengikuti usrah:

*تجنب غيبة الاشخاص وتجريح الهيئات ولا تتكلم الا بالخير.

"Jauhilah daripada mengumpat-umpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan, dan janganlah bercakap melainkan apa- apa yang memberi kebajikan"

Sedihkan bila ada yang tuduh ulama' dan Gerakan Islam lain liberal atau plural semata-mata kerana mereka cuba berdakwah dengan kumpulan-kumpulan lain

Kita semua tahu setiap ulama' dan Gerakan Islam ada maruahnya, ada seninya dalam berdakwah

HORMATILAH orang lain yang juga beramal untuk ke syurga Allah


Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus

Degil Yang Positif



Perkataan "degil" selalu dikaitkan dengan negatif.

Tetapi kekadang, pemimpin yang degil, itulah pemimpin yang hebat, dengan syarat dia telah bersyura dan mendengar dengan teliti pandangan orang lain.

Dia tegas dengan keputusannya; setelah mempunyai hujjah-hujjahnya yang tersendiri.

Dia tidak mudah hanyut atau melatah mendengar pandangan-pandangan lain. Dia berani menanggung risiko.

Dia tidak mudah berubah-ubah bagaikan lalang ditiup angin.....

فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ

"apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah" 159 Ali Imran

Itulah yang dimaksudkan oleh mereka yang terdidik dengan kehalusan seorang guru yang bernama Ibnu Athaillah:

أَجْهَلُ النَاسِ مَنْ تَرَكَ يَقِيْنَ مَا عِنْدَهُ؛ لِظَنِّ مَا عِنْدَ النَاسِ.

Sejahil-jahil manusia adalah orang yang meninggalkan keyakinannya kerana mengikuti sangkaan orang ramai

The most ignorant of all people is the one who abandons the certitude (yaqin) he has for an opinion (dhan) people have.

Ya, keyakinan yang terbina berdasarkan hujjah dan syura yang dilalui.

Hati Yang Kekal Bercahaya



Kekuatan seorang Murabbi pada hatinya. Dari hatinya akan menerbitkan Iman yang mendalam, akhlak yang sangat mulia.

Akhirnya dia akan menjadi pejuang agama Allah SW.T; dari seorang pendakwah dan berakhir sebagai seorang yang sanggup atau benar-benar syahid pada jalanNya.

Proses tarbiyah kelihatan kerap mengulangi hati, hati dan hati. Penekanan terhadap ilmu masyarakat, pengurusan dan pentadbiran, politik dll sesuatu yang ditekankan juga. Namun isu hati tetap menjadi tumpuan sepanjang zaman.

Murabbi yang hebat dan memiliki hati yang hebat akan melahirkan orang-orang yang hebat di sekelilingnya. Dia akan melahirkan pemimpin-pemimpin yang memiliki hati yang turut bercahaya.

Kekadang kita risau adakah kita dan anak buah kita memiliki hati yang dimaksudkan.

Ayuh merayulah kepada Allah S.W.T dan berusahalah untuk meresapkan cahaya Ilahi masuk ke dalam hati kita dan orang yang kita pimpin. Doa kita saban pagi dan petang:

واملأها بنورك الذي لا يخبو

Setiap kali melafazkan doa yang dicipta oleh Imam Al Banna ini, cuba bayangkan apa maksud kata-kata guru kita Ibnu Athaillah pula:

أَنَارَ الظَوَاهِرَ بِأَنْوَارِ آَثاَرِهِ، وَأَنَارَ السَرَائِرِ بِأَنْوَارِ أَوْصَافِهِ؛ لِأَجِلِ ذَلِكَ أَفَلَتْ أَنْوَارِ الظَوَاهِرِ، وَلَمْ تَأْفَلْ أَنْوَارِ القُلُوْبِ وَالسَّرَائِرِ؛ وَلِذَلِكَ قِيْلَ:" إِنَّ شَمْسَ النَّهَارِ تَغْرُبُ بِاللَّيْلِ، وَشَمْسَ القُلُوْبِ لَيْسَتْ تَغِيْبُ ".

Sesungguhnya Allah menerangi alam zahir dengan cahaya makhlukNya (kesanNya), dan menerangi alam batin dengan cahaya sifatNya.

Oleh itu cahaya alam zahir akan terbenam (hilang). Sementara cahaya hati dan alam batin tidak akan terbenam.

Kerana itu ada pepatah: “Sesungguhnya matahari siang terbenam kala malam, namun matahari hati tidak akan kunjung terbenam”

He illumined exterior phenomena (adh-dhawaahir) with the lights of His created things (aathaar); and He illumined the innermost hearts (as-sara'ir) with the uncreated lights of His attributes (bi-anwaar awsaafihi). For that reason, the lights of exterior phenomena set, whereas the lights of hearts (al-quloob) and of the innermost hearts (as-saraa'ir) do not set. That is why it is said:

"Verily, the sun of the day sets at night, but the Sun of the hearts (shams al-quloob) never sets!"

Kita mahu diri kita dan mereka yang bersama kita, memiliki hati yang kekal bercahaya ketika memimpin diri, keluarga dan ummah.

Tangan Yang Menggoncang Dunia


Tangan yang menggoncangkan dunia ialah tangan pendakwah yang menggenggam smartphone, sentiasa sedia dalam urusan Dakwah, Tarbiyah, Tanzim (Organisasi Dakwah) dan Bermasyarakat 25 jam sehari.

Al-Quraan buat tilawah sehari sujuzuk, kitab-kitab hadis, tafsir, feqah dan fikrah serta sirah sentiasa sedia untuk di"scroll"kan.

Dengannya dia membina silaturrahim.

Dia mengikuti perkembangan dunia dan memikirkannya serta mendoakannya. Berusaha untuk melakukan perubahan bersama yang lain.......

Apabila berbicara...


TERKAKU BICARA?

Kalau kita terlalu menekankan slogan jagalah kedudukan kita di hadapan khalayak dan sentiasa bimbang terlalu berfikir untuk menutup-nutup aib kita; percayalah dia akan menjadi sesuatu yang tidak bagus dalam hidup kita.

Kita akan lebih mudah menyalahkan orang, walhal kita sama atau lebih teruk dari orang lain dalam melakukan kesalahan.

Kita akan cepat dan mudah membela diri, walau kita memang ada kelemahan dan ada buat silap….

Percayalah Allah S.W.T akan menutup aib kita bila kita ikhlas untuk lari dan sentiasa untuk meninggalkan dari melakukan aib itu.

Percayalah Allah S.W.T akan menutup aib kita bila kita merasakan kelebihan kita, ketika berbicara, itu semua datang dari Allah S.W.T.

Sebagai bapa atau suami, pemimpin, sebagai guru, sebagai pegawai tinggi mahupun sebagai murabbi; rasakanlah, apabila kita berbicara, Allahlah yang mengatur lidah kita.

Ilmu yang hendak disampaikan milik Allah, berita yang hendak disampaikan dalam pengetahuan Allah. Malah keputusan atau arahan yang hendak dikeluarkan juga ada kaitan dengan Allah.

Ketika itu, kita tidak takut dengan kelemahan dan keaiban yang memang ada pada kita yang sedang kita baiki itu….

Ibnu Athaillah pernah membuka rahsia ini:

مَنْ عَبَّرَ مِنْ بِسَاطِ إِحْسَانِهِ أَصْمَتَتْهُ الإِسَاءَةُ، وَمَنْ عَبَّرَ مِنْ بِسَاطِ إِحْساَنِ اللهِ إِلَيْهِ لَمْ يَصْمُتْ إِذَا أَسَاءَ.

Barang siapa yang berbicara dalam keadaan memandang kebaikan dirinya; dia akan terdiam (bila melihat) oleh kesalahannya. Sedangkan sesiapa yang berbicara kerana memandang kebaikan Allah kepada dirinya, maka ia tidak akan terdiam walaupun ada melakukan kesalahan.

He who holds forth from the standpoint of his own virtuous behavior will be silenced by his behavior toward Allah; but he who holds forth from the standpoint of Allah's virtuous behavior toward him will not be silenced when he misbehaves.

Berdakwah Secara Hikmah



Jumaat minggu lepas dan Jumaat minggu ini kita hidup dalam naungan S Kahfi.

Seawal kita mula membacanya, kita dingatkan bahawa al-Quraan yang diturunkan melalui Nabi Mohammad S.A.W membawa 2 perkara:

1. Memberi amaran kepada golongan yang ingkar, bahawa di sana ada azab yang sangat berat

2. Membawa berita gembira kepada golongan beriman dan yang beramal solih tentang ganjaran yang sangat baik.

قَيِّمًا لِّيُنذِرَ بَأْسًا شَدِيدًا مِّن لَّدُنْهُ وَيُبَشِّرَ الْمُؤْمِنِينَ الَّذِينَ يَعْمَلُونَ الصَّالِحَاتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًا حَسَنًا

(Bahkan keadaannya) tetap benar lagi menjadi pengawas turunnya Al-Quran untuk memberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar) dengan azab yang seberat-beratnya dari sisi Allah, dan memberi berita gembira kepada orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka akan beroleh balasan yang baik.

------------------------------------------------------------------

Namun al-Quraan juga memberi amaran kepada satu golongan yang akan wujud sepanjang zaman.

Ketika kita berlaku lunak kepada teman-teman "belum Islam"; ia tidak mencairkan ketegasan kita untuk membetulkan mereka.

TERUTAMA GOLONGAN YANG MENDAKWA ALLAH MEMPUNYAI ANAK.

وَيُنذِرَ الَّذِينَ قَالُوا اتَّخَذَ اللَّهُ وَلَدًا

Dan juga Al-Quran itu memberi amaran kepada orang-orang yang berkata:" Allah mempunyai anak".


مَّا لَهُم بِهِ مِنْ عِلْمٍ وَلَا لِآبَائِهِمْ ۚ كَبُرَتْ كَلِمَةً تَخْرُجُ مِنْ أَفْوَاهِهِمْ ۚ إِن يَقُولُونَ إِلَّا كَذِبًا

(Sebenarnya) mereka tiada mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya, dan tiada juga bagi datuk nenek mereka; besar sungguh perkataan syirik yang keluar dari mulut mereka; mereka hanya mengatakan perkara yang dusta.

----------------------------------------------------------------

Semoga Para Pendakwah Tegas dan memahami bahawa AL-QURAAN DAN MEREKA YANG BERSAMA AL-QURAAN AKAN TERUS MEMBERI AMARAN KEPADA MEREKA YANG MENDAKWA DAN MENYANGKA ALLAH MEMPUNYAI ANAK. AMARAN INI BERPANJANGAN SEHINGGA HARI QIAMAT.

Ketegasan ini tidak pula menafikan BERDAKWAH SECARA HIKMAH mesti diteruskan.

Rahsiakan Kejayaan Amal Kita



TAZKIRAH INI KHUSUS UNTUK DIRI KITA, BUKAN ORANG LAIN

Apabila kita berjaya melaksanakan sesuatu tugas dan amanah, cuba rahsiakan kejayaannya. 

Biarkan! Kalau ada yang mengaku itu usaha mereka. Bukankah Allah S.W.T Mengetahui amalan siapakah itu tadi?


وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ ۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُون


Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan".

And say: "Work (righteousness): Soon will Allah observe your work, and His Messenger, and the Believers: Soon will ye be brought back to the knower of what is hidden and what is open: then will He show you the truth of all that ye did."

Kalau anda cuba berhujjah dengan mereka, ini usaha saya!; renungilah kata-kata guru kita ini:

اِسْتِشْرَافُكَ أَنْ يَعْلَمَ الْخَلْقُ بِخُصُوْصِيَتِكَ: دَلِيْلٌ عَلَى عَدَمِ صِدْقِكَ فِي عُبُوْدِيَتِكَ

Keinginanmu agar orang-orang mengetahui keistimewaanmu menandakan kitidaktulusanmu dalam pengabdianmu.

Your desire that people know your particular distinction, is a proof of insincerity in your servanthood towards Allah

Dialog Neraka Jahannam



Kekadang Allah S.W.T menggambarkan dalam al-Quraan, suasana yang sangat mengerikan.

Suasana itu dikemukakan dalam bentuk perbualan. Ketika kita bertilawah dan bertadabbur (merenung dan berfikir makna tertentu) kita seolah-olah mendengar perbualan yang mengerikan itu.

Banyaknya dosa yang melayakkan hamba-hambaNya ke neraka termasuk kita, seolah-olah disumbat dan disumbat......

Kita berada di lapisan mana? Tersepit di celah-celah ahli maksiat lain, yang meraung-raung kepanasan mencari ruang.......

Apabila kesusahan itu berlalu pergi...



Pernah sahaja kita cemas dengan bermacam kesusahan dan kepayahan. Kita benar-benar panik.

Maka ketika itu kita mampu berbicara, mengadu dan merayu sehingga terasa Allah S.W.T benar-benar melihat kita. Mudah sahaja air mata bergelingan tumpah.....

Kita berdoa tidak kira masa, ketika berdiri, duduk malah ketika berbaring.

Namun apabila kita keluar dari zon kepayahan itu; kita lupa yang kita pernah berdoa kepada Allah S.W.T sebegitu rupa. Seolah-olah ia tidak pernah berlaku.

Celalah dan hinalah diri kita kerana pernah berkelakuan begitu.....

BANGKITlah menebus kealpaan kita itu, dengan membanyakkan melafaz:

1. لا اله الا الله
2. أستغفر الله العظيم atau apa-apa jenis Istigfar
3. سبحان الله والحمد لله ولا اله الا الله والله أكبر atau apa-apa jenis Tasbih
4. اللهم صل على محمد وعلى آل محمد atau apa-apa jenis Selawat

BANGKITlah menebus kealpaan kita itu dengan, bersedia menjadi pejuang agama Allah S.W.T

Mencintai Nabi s.a.w


Semasa di Masjid Nabawi saya ada berpesan kepada diri sendiri dan beberapa teman dalam rombongan.

Kalau dulu, ada sahabat2 Nabi yang buat kesalahan dan rasa bersalah, mereka datang jumpa Nabi S.A.W. Mereka minta ampun pada Allah di hadapan Nabi S.A.W LALU baginda mendoakan keampunan buat mereka.

Kita hari ini, banyakkanlah selawat kepada baginda di mana sahaja kita berada. Selepas selawat mohonlah keampunan Allah S.W.T. Moga-moga apa yang difahami dari ayat 64 surah an-Nisa'a terkesan kepada kita semua.

Cintailah Nabi S.A.W dengan:

1. selalu berselawat kepadanya
2. belajar dan tambah pengetahuan tentang sirahnya
3. tiru sunnahnya
4. ikuti akhlaknya
5. terus berjuang sebagaimana perjuangannya
6.
7.
8.
9.

Dua Kemuliaan


Ada 2 kemuliaan:

1. Kemuliaan Ilmu 
2. Kemuliaan Kuasa atau Pangkat

Kemuliaan Ilmu jauh lebih mulia dari keduanya

Anda ada kedua2 kemuliaan ini? Demi untuk meningkatkan Dakwah dan Tarbiyah yang anda usahakan


Tanda Takbur

Lama sudah pesanan Al-marhom Fathi Yakan dalam bukunya al-Istiab. Kali pertama baca masa di tingkatan 5 Kolej Islam Kelang 

Sangat bermanfaat bila dah tua ni........





Semakin Meningkat Usia, Semakin Tinggi Cita-Cita



Usia kita semakin meningkat. Cita-cita untuk berjuang dan berkorban untuk agama Allah semakin tinggi.

Sementara nafsu syahawat dan nafsu serakah kita semakin kendur. BETULKAH BEGITU?

Kalau semasa muda dulu-dulu ketika anak-anak masih kecil dan pendapatan serta kerjaya masih rendah; memacam kita angan-angankan. Memacam kita memohon pada Allah.

Malah memang banyak hadis yang dan ayat2 Quraan yang mendorong kita untuk bercita-cita dan memohon kepadaNya.

Kita dianggap sombong sekiranya kita tidak memohon dan merayu kepadaNya.

TETAPI...

Kini kita semakin meningkat usia. Kita tentunya telah berubah. Badan dah mula tidak segagah dulu. Nafsu telah mula merudum (alhamdulillah). Maka kita lebih banyak masa untuk berbual-bual dan menambah rindu kita kepada Sang Ilahi.

Renung kata-kata guru kita Ibnu Athhaillah ini. Adakah kita telah sampai maqam ini? Bertepatan dengan usia kita?

رُبما دلهم الأدب على ترك الطلب؛ اعتمادا على قسمته، واشتغالا بذكره، عن مسألته.

Adakalanya adab yang baik kepada Allah mendorong sesaorang untuk tidak meminta dari Allah sesuatu; hanya bergantung kepada apa yang Allah berikan sahaja. Atau dia tidak sempat meminta kerana terlalu sibuk mengingatiNya

Sometimes good behavior (al-adab) leads some to abandon asking because of confidence in His Providence or because concern for the invocation (dhikr) of Him stymies their asking of Him.

Budaya Kerja Perlahan Perlu Dihindari



JANGAN TANGGUH-TANGGUH KERJA

Beramal dan berjihad dengan pantas dan tepat. Budaya kerja "perlahan" perlu kita hindari.

Nabi S.A.W berpesan: "Sesiapa yang lambat-lambatkan beramal, kedudukan keturunannya tidak mampu mempercepatkannya kepada sesuatu".

Ini membawa maksud kalau kita berlengah-lengah, menangguh-nangguh kerja dan lambat menyempurnakan sesuatu amal, jangan menyangka kedudukan kita, atau kemuliaan keturunan kita mampu menyebabkan kita mendapat ganjaran dari Allah S.W.T.

Para pendakwah, para ulama', para pemimpin ayuh tukarlah budaya "lambat" buat kerja kepada budaya pantas segar di samping menumpukan kepada ketepatan kerja yang kita lakukan.

Allah menyebutkan dalam surah al Ana'am 132: "Di setiap darjat di sisi Allah sangat bergantung kepada amalan kita"

Kalau pemimpin yang perlahan melaksanakan amanahnya dan menyebabkan ribuan anak buahnya tidak mampu beramal kerana kelambatannya maka dia ada kedudukan tertentu di sisi Allah nanti......





ومن أبطأ به عمله لم يسرع به نسبه )) معناه : أن العمل هو الذي يبلغ بالعبد درجات الآخرة ، كما قال تعالى : (ولكل درجات مما عملوا ) ، فمن أبطأ به عمله أن يبلغ به المنازل العالية عند الله ، لم يسرع به نسبه فيبلغه تلك الدرجات ، فإن الله تعالى رتب الجزاء على الأعمال لا على الأنساب ، كما قال تعالى : ( فإذا نفخ في الصور فلا أنساب بينهم يومئذ ولا يتساءلون ) وقد أمر الله تعالى بالمسارعة إلى مغفرته ورحمته بالأعمال ، كما قال تعالى : ( وسارعوا إلى مغفرة من ربكم وجنة عرضها السموات والأرض أعدت للمتقين الذين ينفقون في السراء والضراء والكاظمين الغيظ والعافين عن الناس والله يحب المحسنين

TANDA KEMERDEKAAN


PESANAN 3 HARI KEMERDEKAAN KE 56

Wahai para pemimpin, pengarah, pengurus, ketua keluarga, pengerusi, guru, CEO dll, malulah kepada ketua musuh Islam dalam peperangan al-Qadisiyah, Rustam.

Selepas mendengar penghujjahan Rubaie ibnu A'mir; Rustam ketua Parsi itu bersyura dengan Menteri-Menterinya.

Para menteri mendesak agar jangan layan wakil Umar alKhattab itu. Malah menghina wakil Islam itu dengan menyamakannya dengan anjing. Mereka menasihatkan Rustam; lihat sahaja pakaian Rubaie ibnu A'mir itu.

Rustam menegur menteri-menterinya, jangan pandang remeh risalah Islam itu. Ia penuh dengan isyarat yang tinggi. Kamu sibuk dengan menilai pakaian mereka dan alpa menilai "fikrah" atau ideologi tinggi mereka.

Itu tanda "kemerdekaan" menilai dan mendengar pandangan orang lain.

MAKA JANGAN MENILAI DARI PUAK MANA, DARI PARTI MANA, DARI JEMAAH MANA....

1. NILAILAH APA YANG MEREKA KATAKAN
2. NILAILAH APA YANG MEREKA LAKSANAKAN

ITU TANDA KITA MERDEKA

فاجتمع رستم برؤساء قومه فقال: هل رأيتم قط أعز وأرجح من كلام هذا الرجل؟

فقالوا: معاذ الله أن تميل إلى شيء من هذا، تدع دينك إلى هذا الكلب أما ترى إلى ثيابه؟

فقال: ويلكم لا تنظرون إلى الثياب، وانظروا إلى الرأي، والكلام والسيرة، إن العرب يستخفون بالثياب والمأكل، ويصونون الأحساب

ERTI KEMERDEKAAN RUBAIE IBNU A'MIR


PESANAN 2 HARI KEMERDEKAAN KE 56

Wahai para pemimpin, pengarah, pengurus, ketua keluarga, pengerusi, guru, CEO dll, berkenalanlah dengan Rubaie ibnu A'mir ربعي بن عامر ketika berhadapan dengan Rustam dalam peperangan Qadisiyah.

Pemimpin musuh tidak menyangka dia adalah ketua dalam organisasi tentera Islam yang mengalahkan mereka. Kelihatan mereka semua sama. Seolah-olah ketua mereka adalah "PENCIPTA" mereka sendiri.

Tuntutan organisasi sahaja yang menagih adanya jawatan.

Ketika ditanya apa yang mendorong mereka untuk datang berperang.

Jawapan mereka sangat jelas iaitu, Allah menghantar mereka untuk:

1. Mengeluarkan hamba-hambaNya dari terus menyembah sesama hamba kepada menyembah Allah S.W.T yang Maha Esa

2. Mengeluarkan hamba-hambaNya dari kesempitan dunia kepada kehidupan yang memanjang sampai Akhirat. Ramai di kalangan manusia lupa dan terus menyangka hidup hanya di dunia sahaja; tiada kehidupan selepas itu.

3. Mengeluarkan hamba-hambaNya dari kezaliman agama kepada keadilan Islam. Agama tidak sepatutnya mengongkong penganutnya dan menyusahkan mereka. Nikmatilah keadilan, kebebasan, ketenangan, kebahagian yang dibawa oleh Islam.

Lantas kami menunggu janji Allah S.W.T setelah kami mengusahakan dan memperjuangkan apa yang Allah perintahkan kepada kami.

ITULAH ERTI "KEMERDEKAAN" YANG DIBAWA OLEH PEMIMPIN ISLAM SEPERTI RUBAIE IBNU A'MIR ربعي بن عامر

قصّة ربعي بن عامر مع رستم ذكرها ابن كثير في (البداية و النهاية/الجزء السابع/غزوة القادسية

فقالوا له: ما جاء بكم؟

فقال: الله ابتعثنا لنخرج من شاء من عبادة العباد إلى عبادة الله، ومن ضيق الدنيا إلى سعتها، ومن جور الأديان إلى عدل الإسلام، فأرسلنا بدينه إلى خلقه لتدعوهم إليه، فمن قبل ذلك قبلنا منه ورجعنا عنه، ومن أبى قاتلناه أبدا حتى نفضي إلى موعود الله

Doa Nabi Musa a.s. dan Pendakwah


TAHNIAH KEPADA PARA ULAMA' DAN PENDAKWAH MESIR. MEREKA TELAH MENGAMBIL LANGKAH YANG WAJAR

Selain kita kena meneruskan mengikuti perkembangan mereka, membuat bantahan terhadap pembunuhan yang berlaku itu, mengadakan siri-siri penerangan kepada orang ramai, institusi, NGO dan seluruh masyarakat, kita kena kekalkan berdoa, berdoa dan berdoa.

Kita bersyukur kepada Allah S.W.T kerana Malaysia telah melahirkan pendirian mereka, TIDAK SETUJU DENGAN PEMBUNUHAN itu. Sebarang penyelesaian baik berdiri dan berasaskan kepada perundingan.

Kita juga wajar untuk “menyiapkan diri kita sendiri” demi meneruskan perjuangan Rasulullah S.A.W di penjuru bumi yang kita jaga ini.

Teringat kisah Nabi Musa a.s diarah untuk pergi kepada Firaun yang Allah S.W.T isytiharkan sebagai MELAMPAU itu.

اذْهَبْ إِلَىٰ فِرْعَوْنَ إِنَّهُ طَغَىٰ [٢٠:٢٤]
"Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas".

Nabi Musa a.s lantas membuat persiapan untuk bertemu dengan manusia yang MELAMPAU itu.



قَالَ رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِّن لِّسَانِي يَفْقَهُوا قَوْلِي وَاجْعَل لِّي وَزِيرًا مِّنْ أَهْلِي هَارُونَ أَخِي اشْدُدْ بِهِ أَزْرِي وَأَشْرِكْهُ فِي أَمْرِي كَيْ نُسَبِّحَكَ كَثِيرًا وَنَذْكُرَكَ كَثِيرًا إِنَّكَ كُنتَ بِنَا بَصِيرًا


Kemuncak persiapan Nabi Musa itu terserlah dalam doanya yang masyhur.

Nabi Musa berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku:

1 Lapangkanlah bagiku, dadaku;

PENDAKWAH SEPERTI KITA KENA SENTIASA BERFIKIRAN POSITIF, BAIK SANGKA DAN JAUH DARI BERSEDIH, TAKUT ATAU GUNDAH GULANA

2. Dan mudahkanlah bagiku “urusan”ku

PENDAKWAH SEPERTI KITA KENA MENGUASAI DAN MEMPERAKTIS ILMU PENGURUSAN, BEKERJA SECARA TERANCANG DAN TERSUSUN, JAUHKAN DIRI DARI KERJA KELAM KABUT, BERSERABUT ATAU “FAUDHO”

3. Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku. Supaya mereka faham perkataanku

PENDAKWAH SEPERTI KITA KENA BERLATIH MENYAMPAIKAN MAKLUMAT (DENGAN APA CARA SEKALIPUN) DENGAN FASIH, JELAS DAN MEMASTIKAN PENYAMPAIAN KITA DAPAT DIFAHAMI OLEH PENERIMA

4. Dan jadikanlah bagiku, seorang penyokong dari keluargaku, Iaitu Harun saudaraku; Kuatkanlah dengan sokongannya pendirianku

PENDAKWAH SEPERTI KITA KENA PASTIKAN KITA PUNYA PASUKAN PENDOKONG DAN PENYOKONG YANG RAPAT DAN MEMAHAMI KITA DALAM PERJUANGAN INI. MAMPU MEMOTIVASIKAN KITA KETIKA MERASA LETIH ATAU TERTEKAN

5. Dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku

PENDAKWAH SEPERTI KITA KENA PASTIKAN PASUKAN YANG BERSAMA KITA JUGA MENGUASAI DAN MEMPERAKTISKAN ILMU PENGURUSAN TERBAIK. AGAR SEMUA PERANCANGAN DAPAT TERLAKSANA SECARA TERSUSUSUN DAN TERATUR

6. Supaya kami sentiasa beribadat dan memujiMu,

PENDAKWAH SEPERTI KITA KENA PASTIKAN KITA DAN PASUKAN KITA TIDAK HANYA SIBUK DENGAN ILMU PERANCANGAN PENGURUSAN SAHAJA. MEREKA YANG BERSAMA KITA KENA JUGA MENJADI “ABID” AHLI IBADAH YANG MANTAP

7. Dan (supaya) kami sentiasa menyebut dan mengingatiMu;

PENDAKWAH SEPERTI KITA KENA PASTIKAN KITA DAN PASUKAN KITA SENTIASA INGAT ALLAH DENGAN PELBAGAI ZIKIR DAN TASBIH; SENTIASA BERSERAH KEPADA ALLAH S.W.T DALAM SEMUA PERKARA

"Sesungguhnya Engkau adalah sedia melihat dan mengetahui hal ehwal kami"

PENDAKWAH SEPERTI KITA KENA PASTIKAN KITA SENTIASA MERASAKAN KEHADIRAN ALLLAH DALAM KEHIDUPAN DAN PERJUANGAN INI. RASAKAN DAN BAYANGKAN YANG ALLAH S.W.T SENTIASA MELIHAT, MENDENGAR DAN MEMERHATIKAN KITA DALAM SEMUA KEADAAN

Doa Nabi Yusuf a.s. dan Bumi Mesir





Semoga doa Nabi Yusuf A.S hangat kembali dengan kita beramai-ramai mengulanginya kembali.


فَلَمَّا دَخَلُوا عَلَىٰ يُوسُفَ آوَىٰ إِلَيْهِ أَبَوَيْهِ وَقَالَ ادْخُلُوا مِصْرَ إِن شَاءَ اللَّهُ آمِنِينَ [١٢:٩٩] 

Maka ketika mereka (Nabi Yaakub dan keluarganya) masuk (ke Mesir)
menemui Yusuf, Yusuf segera menyambut serta memeluk kedua ibu bapanya, sambil berkata: "MASUKLAH KAMU KE NEGERI MESIR, insya Allah kamu berada di dalam aman.

وخرج يعقوب وأهله إلى "مصر" قاصدين يوسف، فلما وصلوا إليه ضمَّ يوسف إليه أبويه، وقال لهم: ادخلوا "مصر" بمشيئة الله، وأنتم آمنون من الجهد والقحط، ومن كل مكروه

Kerinduan kita kepada kegemilangan Mekah, Madinah, Al-Aqsa; Syam termasuk Damsyik, Bagdad (Kuffah dan Basrah), Mesir meluap-luap.....

Peritiwa jatuhnya Majusi dan Rom sangat mengagumkan kita.

Dendam penganut Majusi melanda bumi Parsi. Namun dari bumi Parsi dan arah timurnya, kebangkitan ummat Muhammad S.A.W yang sebenar semakin hampir.

Bumi Khurasan sebagai contoh, akan bertembung dengan Yahudi dari arah sana. Selama ini, kita seolah-olah tidak perasan kewujudan mereka di sana.

Pejuang agama pewaris sebenar perjuangan Nabi S.A.W akan membongkar penipuan mereka selama ini atas nama Syiah. Kita muliakan semua para sahabat; sebagaimana kita muliakan A'isyah R.A begitu juga kita muliakan Ali R.A.

Kita bersabar menerima perbezaan. Kita kena bijak mengurus perbezaan.

Kita tidak boleh hanyut dengan perbezaaan sehingga menguntungkan golongan kafirin.

Mengkafirkan Saidina Abu Bakr R.A, Saidina Ali R.A atau menyebut-nyebut kononmya kezaliman Muawiyah R.A, Yazid R.A dll adalah sangat tidak bijak.

Kita juga perlu memerdekakan diri dari golongan yang bertopengkan "liberal". Satu gerakan yang melihat kelunakan Islam dan menggunakannya untuk menghancurkan Islam itu sendiri.

Janganlah alasan untuk mendampingi mereka atau berdakwah dengan mereka, memenangi hati mereka, menghalalkan bersepakat untuk menjatuhkan golongan Islam yang "tak senonoh"; berilah seribu alasan sekalipun, jangan ada di kalangan kita yang sanggup membiarkan Islam terungkai dari buminya sendiri.

Kelunakan Islam satu perkara, ketegasan Islam pula satu perkara yang lain, yang perlu dijaga.

Mempertahankan "bumi Mesir" tanda mempertahankan kebangkitan Islam kembali. Membiarkannya bererti membiarkan gerhana Islam berpanjangan....

Tuesday 4 March 2014

Mengenang Almarhum Ust Rasidi Yasin



Mengenang Almarhum Ust Rasidi Yasin


Semangat perjuangan para syuhada' Palestin masih membara. Ditambah dengan simbahan darah syuhada' bumi Syam dan Mesir. Ini belum dikira darah para pejuang Fatani, Rohingya dll. Ia semakin tersentuh dengan pemergian orang-orang terdekat denganku.

Bermula dengan permergian rakan sebaya di Kolej Islam Klang Almarhom Us. Rasidi Yasin @ Mundok.... Senyumannya sangat segar. Tingkah laku mulianya masih ku terkenang-kenang.

Tiba-tiba, datang berita bonda yang pergi tanpa isyarat. Isyarat pemergiannya pernah ku terima, seolah-olah ia akan pergi beberapa minggu lepas.

Namun dia bangkit semula dengan gagah. Kami berbual-bual.

Ahad minggu lepas, sempat kami menyuapkan dua biji tamar medjoul. Dia tersenyum puas. Sebaik sahaja keluar dari hospital kerana jatuh tempoh hari pun, dia meratah seketul ayam di meja makan bersama kami.

Jam 6 petang sabtu baru-baru ini bonda masih berbual dengan kakak, sebelum itu dia berbual-bual menalefon pembantu runmahnya untuk masak itu dan ini, tiba-tiba dia mengadu sakit dada dan terus terkulai layu buat selamanya jam 6.15 petang di hadapan kakak. Begitu mudah dan tenang dia pergi.

Pada sebelah petang hari pengebumian, kami berbuka bersama keluarga besar. Berterawih anak beranak ramai-ramai. Malamnya masing-masing beredar ke destinasi masing-masing.

Malam itu 27 Ramadhan,aku dan keluarga bertekad untuk beriktikaf dalam perjalanan pulang ke Bangi meninggalkan Batu Pahat dua pusara ayahanda dan bonda.

Kami berazam untuk iktikaf di masjid yang hampir dengan highway perjalananan kami. Sudah tentu makam Datok Dol Said di Tabuh Naning paling hampir dengan exit Simpang Ampat.

Iktikaf di Masjid yang dinisbahkan dengan pejuang menentang penjajah British.

Almarhom telah membunuh 40 tentera penjajah yang cuba menangkapnya. Mengenang sejarah tersebut, membuatkan bersemangat membaca ayat-ayat jihad pada malam itu.

Kesayuan terkenang bonda masih segar. Kesayuan mengenang sahabat Almarhom Us. Rasidi masih segar. Kesayuan kehilangan sahabat Rengit Yusuf Syawal masih segar ketika aku berbisik dengannya, masih ingat saya? Kita pernah bersama di Rengit? Dia mengangguk tersenyum, walau nafasnya tercungap-cungap.

Kesunyian malam iktikaf itu semakin syahdu bila menerima berita perginya sahabat Rengit seorang lagi. Abd Rahman Mohd Nor.

Beliaulah antara mereka yang mengheretku membetis dari rumah ke rumah di sekitar Rengit, tak kira ketika banjir paras betis atau panas terik di bulan Ramadhan.

Dia membuatku hilang rasa malu bimbang dan segan ketika menziarahi rumah orang-orang yang tidak ku kenali.

Senda guraunya menghilangkan panas baranku ketika dihina oleh beberapa tuan rumah yang tidak sudi menerima kunjungan kami.

Dia membawaku ke rumah pesakit-pesakit di Rengit. Dia mempelawaku untuk menerima buah tangan seperti ayam serama, telur ayam kampung, durian, duku, pisang, kelapa dan ubi kayu.

Masih segar dalam ingatan, dia mentertawakan aku ketika menguji ku mengupas sabut kelapa. Gurauannya "orang bandar balik ke kampung".

Asar semalam dia tidak mahu meninggalkan kuliah asar di masjid Bagan, Rengit. Bisiknya kepada sang isteri, tidak mahu meninggalkan, kuliah takut-takut itu kuliah terakhirnya .

Waktu malam dia masih sempat mengimamkan solat isya' di Balai Islam Bagan. Sempat menjadi ma'mum dengan sempurna pada dua rakaat pertama terawih.

Katanya, pada ketika bangkit dari sujud kedua dari rakaat pertama pada pusingan terawih kedua, dia tewas untuk menyempurnakan rakaat keduanya itu. Menggagahkan diri, dia terus sujud dan terkulai dalam sujudnya.

Ketika didudukkan oleh para ma'mum selepas salam, diurut-urut belakangnya, dia mula bernafas sempurna kembali, dan terus menerkam untuk sujud lagi....

Beliau dikejarkan ke klinik kesihatan Rengit. Setelah mendapat injection , beliau kelihatan segar kembali dan meminta untuk dibawa ke hospital.

Sepanjang perjalanan beliau masih boleh berbual mesra. itulah sahabat saya Abd Rahman Mohd Nor.

Saya dan keluarga yang bercadang ingin meneruskan perjalanan ke Bangi setelah iktikaf di Masji Dol Said, berpatah balik ke Rengit untuk terus membatalkan agenda besar saya di Kuala Lumpur.

Menatap wajahnya buat kali terkhir, bersama dalam solat jenazah. menurunkan kerandanya ke liang lahad , menimbuskannya dan mendoakannya lebih penting dari tugas saya hari ini.

Laksana Amanah Tanpa Harapkan Pujian


Laksana Amanah Tanpa Harapkan Pujian


Apabila kita diberi amanah, laksanakan amanah itu sebaik mungkin.

Jangan laksanakannya sambil lewa atau lebih kurang. Ucapan kita, penyampaian, persiapan, penampilan kita, protokol, prosedure, laporan dan segalanya mestilah terbaik dan terkemas mungkin.

Selepas berjaya melaksanakannya, berusahalah untuk melupakan kejayaan tersebut. Hati-hati dengan beberapa keadaan:

1.Atas alasan menjaga hati, kita laksanakan amanah secara paling sederhana sehingga mengabaikan keberkesanan, protokol mahupun prosedure.

2. Sebelum, semasa dan selepas melaksanakan amanah kita memburu pujian dan penghargaan dan perhatian sesama makhluk.

Ayuh renungkan sedalam-dalamnya pesanan guru kita Ibnu Athaillah ini:



غَيِّبْ نَظَرَ الْخَلْقِ إِلَيْكَ بِنَظَرِ اللهِ إِلَيْكَ، وَغَيِّبْ عَنْ إِقْبَالِهِمْ عَلَيْكَ بِشُهُوْدِ إِقْبَالِهِ عَلَيْكَ.



Hilangkan dan lupakan pandangan makhluk terhadapmu kerana puas dengan penglihatan Allah kepadamu. Dan hilangkan dan lupakan penerimaan (kekaguman) mereka terhadapmu kerana menyedari bahawa telah Allah menerima mu

Make mankind's looking at you disappear by being content with Allah's looking at you! Slip away from their approach to you by contemplating His approach to you!

Latih diri Untuk Hormati Pandangan


Latih Diri Untuk Hormati Pandangan


Menghormati pandangan adalah satu latihan untuk kita semua........Tanda kita semakin matang.

"Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengecam rampasan kuasa dan penahanan Presiden Mohammed Mursi. Insiden yang tercetus selepas demonstrasi berpanjangan ini bukan sahaja telah meragut nyawa, tetapi juga membawa rusuhan dan pertembungan ganas antara pihak penyokong dan penentang kerajaan di sana.

Harus diingat bahawa Presiden Mohammed Mursi adalah seorang pemimpin yang telah dipilih secara demokratik oleh rakyat Mesir melalui proses pilihan raya dan bukannya rusuhan jalanan. Beliau tidak sepatutnya digulingkan dengan sebegitu rupa kerana ini bukan sahaja melanggari prinsip dan amalan demokrasi tetapi juga mengkhianati amanah rakyat.

Ini adalah satu iktibar kepada seluruh masyarakat antarabangsa bahawa keputusan demokrasi mestilah diterima dan dihormati oleh semua. Sebarang tindakan untuk menjatuhkan Kerajaan yang dipilih secara demokratik nyata melanggari batasan undang-undang dan perlembagaan.Oleh itu, tindakan sebegini hendaklah dikecam dan ditolak sepenuhnya.

Pada masa yang sama, saya mendoakan keselamatan rakyat Malaysia yang berada di sana dan menasihati mereka agar tidak menghampiri kawasan yang berisiko tinggi. Saya juga berharap Kementerian Luar akan terus memantau pergolakan di Mesir dan membuat persiapan awal sekiranya kita terpaksa memindahkan rakyat Malaysia bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini berlaku"


Melahirkan Pemimpin Ummah






Melahirkan Pemimpin Ummah


Kita kena melahirkan "pemimpin" yang ramai. Pemimpin yang sanggup berkorban untuk ummah ini.

Pemimpin itu pula kenalah diberi peluang untuk menjadi "berani" dan "tegas" tetapi penuh berakhlak.

Ketegasan tidak boleh dilihat sebagai tidak berakhlak pula.

Membiarkan pengikut menjadi pasif dan tidak kreatif dengan idea-idea baru adalah kesilapan besar para pemimpin.

Menyangka pendiam dan tidak berbicara di hadapan pemimpin; tidak wajar dinilai semata-mata sebagai pengikut yang "beradab".

Namun ketika mereka berhujjah dan berdebat, pastikan mereka dan kita menjaga adab dan akhlak. Ketegasan berhujjah tidak sepatutnya mencederakan dan merosakkan hati kita dan hati mereka.

Imam Syafie yang kuat berhujjah dan kaya dengan dalil-dalil dan bukti buat meyakinkan sesuatu pandangannya; namun demi menjaga hatinya selepas berhujjah, dia akan berdoa dan berharap agar Allah menaikkan pandangan yang tepat dari lawannya dan bukan darinya, agar dia lebih bersih dari segala penyakit hati.



مَا نَاظَرْتُ\جَادَلْت أَحَدًا قَطُّ إِلَّا تَمَنَّيْتُ أَنْ يُظْهِرَ اللهُ الحَقَّ

عَلَى لِسَانِهِ

Aku tidak pernah berdebat dan berhujjah dengan sesiapa melainkan aku bercita-cita agar Allah tunjukkan kebenaran melalui lidahnya (orang yang aku berdebat dengannya)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...