Friday, 22 January 2016

KERAPKANLAH BERZIKIR DENGAN MENYERU NAMA-NAMA ALLAH S.W.T



KERAPKANLAH BERZIKIR DENGAN MENYERU NAMA-NAMA ALLAH S.W.T

Mengulang-ulang nama Allah yang bersifat Penyayang sangat memberi kesan kepada penyebutnya.
Ia bertepatan dengan firman Allah s.w.t:
وَلِلَّهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ فَادْعُوهُ بِهَا
"Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka berdoalah kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu"
(al-A’raf 180)
Al-Quraan memperkenalkan Allah s.w.t sebagai Yang Maha Pengasihani:
فَاللَّهُ خَيْرٌ حَافِظًا ۖ وَهُوَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ
“Maka Allah jualah Penjaga yang sebaik-baiknya, dan Dia lah jua Yang Maha Mengasihani dari sesiapa sahaja yang menaruh belas kasihan". (Yusuf 64)
Antara kalimah yang paling menarik untuk diulang-ulang dan kita berdoa selepasnya ialah:
يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ
"Wahai Yang Maha Pengasih di kalangan yang mengasihi"
Dalam beberapa doa yang diajar, kalimah ini akan mengakhiri doa-doa tersebut.
Malah terdapat dua hadis bertaraf dhaif yang menggalakkan untuk menyebutnya sebelum berdoa.
إن لله ملكا موكلا بمَن يقول : يا أرحم الراحمين. فمن قالها ثلاثا قال الملك : إن أرحم الراحمين قد أقبل عليك فاسأل
"Sesungguhnya di sisi Allah para malaikat yang akan mewakiliNya untuk orang-orang yang menyebut Ya Arhamarraimin (Wahai Yang Maha Penyayang). Maka sesiapa yang menyebutnya 3x malaikat itu akan berkata:
“Sesungguhnya Yang Maha Penyayang telah berhadapan denganmu maka mintalah dariNya”
عن أنس بن مالك رضي الله عنه قال : مر رسول الله صلي الله عليه وسلم برجل وهو يقول : يا أرحم الراحمين ! فقال له رسول الله صلي الله عليه وسلم : " سل ؛ فقد نظر الله إليك
"Anas bin Malik ra meriwayatkan Rasulullah s.a.w melintasi seorang yang sedang mengunggkapkan Ya Arhamarrahimin (wahai Yang Maha Penyayang) Maka berkata baginda s.a.w:
“Memohonlah! kerana Allah telah memandang ke arah mu”
Ayuh! Beramai-ramai kita ulang kalimah ini:
يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ
يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ
يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينٍَ

Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus

Tuesday, 19 January 2016

AYUH! BANYAKKAN BERSUJUD



AYUH! BANYAKKAN BERSUJUD



Menyeru seluruh umat Islam untuk memperbanyakkan sujud.

Nikmatilah rasa ketenangan ketika bersujud sambil berbual-bual mengadu dan meminta kepada Allah s.w.t.

Nabi s.a.w sangat gembira apabila kita kerap bersujud.

"فأَعِنِّي عَلَى نَفْسِكَ بِكَثْرةِ السُّجُودِ"

"Bantulah saya dalam melawan (mengendalikan) hawa nafsumu dengan banyak bersujud."

وحديث ثَوْبانَ -رضي الله عنه- "عليكَ بِكَثْرةِ السُّجُودِ"

"Keatasmu dengan memperbanyakkan sujud"

Tambahan, bahagian kepala kita akan terasa segar bila kita kerap bersujud.

Sambil itu berdoalah agar Malaysia kekal menjadi sebuah negara yang melaksanakan perintah-perintah Allah dan meningalkan larangannya dalam keadaan teman-teman bukan Islam dapat benar-benar menikmati kemanisan perkongsian itu.

CUBALAH DIDIK SESIAPA YANG ANDA SANGKA MUSUH, MANALAH TAHU...



CUBALAH DIDIK SESIAPA YANG ANDA SANGKA MUSUH, MANALAH TAHU.....

Walaupun mereka zalim dan jahat; kita pergi kepada mereka untuk mengubah keadaan dan mendidik mereka.

Sudah tentu ada rasa sedikit gementar berhadapan dengan mereka yang MELAMPAU itu, namun kita tetap akan berhadapan dengan mereka dalam keadaan sopan, tenang, manis bicara serta TEGAS, dengan harapan agar mereka INGAT dan TAKUT.

Allah akan urus selebihnya.....

Kita PENAKLUK yang MENDIDIK.....

فَقُولَا لَهُ قَوْلًا لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَىٰ

"Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya (firaun), dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia BERINGAT atau TAKUT".

Thoha: 44

*penakluk: yang menang, yang mengatasi, menjuarai

TERUSKAN MENCARI ILMU DI MANA-MANA YA!


TERUSKAN MENCARI ILMU DI MANA-MANA YA!


Kami menggalakkan mereka yang rapat dengan kami agar sentiasa mencari ilmu.
Kami tidak pernah menghalang anda untuk mencari ilmu di mana-mana sahaja dan dari sesiapa sahaja.
Yang penting anda berfikir dan menilai ilmu guru-guru itu dengan kematangan ya!.
Berkawanlah dengan muslim dan non muslim selepas berguru; pastikan tidak taasub selepas berguru ya.....
وروى أبو داود ، والترمذي ، وابن ماجه ، وصححه ابن حبان عن أبي الدرداء مرفوعا
: " من سلك طريقا يلتمس فيه علما ، سهل الله له به طريقا إلى الجنة، 
وإن الملائكة لتضع أجنحتها لطالب العلم رضا بما يصنع، 
وإن العالم ليستغفر له من في السماوات ومن في الأرض حتى الحيتان في الماء ........"
Maksudnya: “Barang siapa menempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah memudahkan jalannya menuju Surga.
Sesungguhnya para Malaikat membentangkan sayapnya untuk orang yang menuntut ilmu kerana redha atas apa yang mereka lakukan. 
Dan sesungguhnya orang yang alim, didoakan keampunan buatnya oleh penghuni langit dan bumi, bahkan oleh ikan-ikan yang berada di dalam air......”

JANGAN BIARKAN PEMERINTAH MENGANIAYA SI LEMAH



JANGAN BIARKAN PEMERINTAH MENGANIAYA SI LEMAH


Seorang sahabat, Jaafar r.a menceritakan kepada Rasulullah s.a.w: "Saya telah melihat seorang wanita membawa bekas berisi makanan di atas kepalanya, lalu datang seorang penunggang kuda melintasinya dan menyebabkan bekas itu tertumpah.

Wanita itupun terduduk sambil mengumpulkan makanannya, kemudian dia berpaling sambil berkata:

"Celakalah kamu, apabila Allah Yang Maha Berkuasa telah meletakkan kerusi-Nya, dia akan mengambil hak mereka yang dizalimi daripada yang menzaliminya”.

Hati Rasulullah s.a.w tersentuh dengan cerita ini, lalu bersabda sebagai membenarkan kata-kata wanita ini:

" لا قُدِّسَتْ أُمَّةٌ لا يَأْخُذُ ضَعِيفُهَا حَقَّهُ مِنْ شَدِيدِهَا وَهُوَ غَيْرُ مُتَعْتَعٍ"

"Tidak akan dimuliakan umat yang mana golongan lemah tidak dapat mengambil haknya daripada mereka yang kuat dalam keadaan dia tidak tertindas”.

Berdasar sirah Rasulullah s.a.w ini, maka tidak wajar kita membiarkan seseorang dianiaya dan tidak mendapat mengambil haknya dari orang yang menzaliminya.

Hari ini rakyat terasa dianiaya. Mereka dipaksa membayar GST yang sebenarnya tiada sebab Kerajaan UMNO/BN untuk melakukan demikian, melainkan kita ditipu dengan isu 1MDB dan RM2.6B.

Harta dan aset negara terlepas dari kita satu persatu dan kita tidak mampu menghalangnya.
Kita benar-benar tertipu.

Apabila membaca hadis berikut pula bertambah gerun kita kepada Allah s.w.t.

مَا مِنْ عَبْدٍ يَسْتَرْعِيْهِ اللهُ رَعِيَّةً يَمُوْتُ يَوْمَ يَمُوْتُ وَهُوَ غَاشٍّ لِرَعِيَّتِهِ إِلاَّ حَرَّمَ اللهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ

"Tiada (pemimpin) yang diamanahkan oleh Allah s.w.t. untuk memimpin rakyatnya, kemudian ketika dia mati dalam keadaan dia telah menipu rakyatnya (berlaku tidak adil), maka Allah pasti akan mengharamkan baginya syurga".

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Lantaran inilah Parti AMANAH Negara muncul untuk memastikan penganiayaan seperti ini dihentikan dan kemurkaan Allah kepada ummah tidak berpanjangan.

Kerajaan UMNO/BN yang mengkhianati negara perlu ditukar kepada kerajaan baru.

Sebarang usaha mana-mana ulama atau parti politik lain untuk menjalin hubungan dengan UMNO/BN atas alasan yang tidak jelas, adalah dikira tertipu dengan kelicikan helah parti yang cuba menutup kezalimannya itu.

Bagi kita umat Islam yang baru meraikan Maulidur-Rasul, kita perlu ingat bahawa keperitan hidup Rasulullah s.a.w masa kecil, menjadi yatim piatu, dibesarkan oleh Abu Talib yang tidak sekaya mana, menjadikan Rasulullah s.a.w sensitif kepada kesusahan orang lain dan menjadi pembela orang yang teraniaya.

Akhlak dan sifat perjuangan seperti ini harus diwarisi oleh setiap umat Islam.

Syukurlah rakyat sedang bangkit untuk bersama Parti AMANAH Negara dan PAKATAN HARAPAN dalam melakukan perubahan besar ini. Semoga Allah s.w.t merahmati usaha kita bersama.

USTAZ HAJI HASANUDDIN MOHD YUNUS 

Naib Presiden Parti AMANAH Negara

Selasa 25 Rabiul Awal 1437H 
6 Januari, 2016.

MENGUASAI KEMAHIRAN MEMIMPIN ADALAH SEBAHAGIAN TUNTUTAN AMANAH UNTUK PEMIMPIN


MENGUASAI KEMAHIRAN MEMIMPIN ADALAH SEBAHAGIAN TUNTUTAN AMANAH UNTUK PEMIMPIN

Ketika Rasulullah saw ditanya oleh seseorang, bila akan tiba hari kiamat, baginda mengambil masa untuk menjawabnya. Akhirnya, baginda menyebutkan: 

“فإذا ضيعت الأمانة ؛ فانتظر الساعة”

“Apabila dipersia-siakan amanah, maka nantikanlah saatnya.”

Lalu sahabat itu bertanya lagi, bagaimana ia dipersia-siakan?

Jawab Rasulullah saw:

"إِذَا وُسِّدَ الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ ؛ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ"

“Apabila diserahkan urusan kepada mereka yang bukan ahlinya, maka tunggulah saatnya.”

Ibnu Rajab dan beberapa ulama lainnya dalam mensyarahkan hadis ini mengatakan bahawa kiamat tidak akan berlaku melainkan apabila golongan yang tidak layak memimpin diangkat menjadi pemimpin. Lantas pemimpin itu mensia-sia amanah yang diberikan.

Maka berlakulah kerosakan dan huru-hara bagaikan 'kiamat' rasanya.

Apakah peranan dan ciri-ciri pemimpin yang mesti ada agar mereka dapat melaksanakan tugas memimpin dan tidak tergolong dalam golongan memecah amanah apabila dia gagal?

Kadang-kadang ada yang cuba melaksanakan amanah memimpin tetapi rupanya mereka bukan AHLI dalam memimpin.

Kepimpinan adalah proses mempengaruhi ahli-ahli untuk bertindak atau melakukan sesuatu ke arah mencapai objektif bersama.

Berdasarkan kajian para pakar kepimpinan dan pengalaman pemimpin organisasi yang berjaya, antara ciri-ciri yang mesti ada pada pemimpin adalah:

1. Mampu membaca dan menelah masa hadapan.

2. Mempunyai misi dan visi yang jelas.

3. Mampu mengurus perbezaan dan diversiti.

4. Bijak berkomunikasi dan pandai berkawan.

5. Sentiasa bermotivasi dan mampu mendorong orang lain.

6. Bijak menghargai dan mengiktiraf pengikut dan ahli.

7. Tidak mudah terpengaruh atau berubah-rubah.

8. Sudi mendengar dengan baik.

9. Mahir membuat keputusan berdasarkan opsyen-opsyen yang dibina.

10. Pandai mengolah, fasih berbicara dan pintar berdebat atau berhujah.

11. Cepat menghidu helah musuh.

Seorang yang alim dalam agama belum pasti mampu menguasai “tools” dan kemahiran dalam memimpin. Lebih buruk jika pemimpin bidang agama mudah rasa tercabar atau tersinggung apabila ada pengikut-pengikutnya yang lebih berkemahiran dalam memimpin dan cuba membantu.

Sebaliknya, orang yang menguasai ilmu kepemimpinan, biasa sahaja bersedia untuk merujuk dan menerima bimbingan seorang alim dalam bidang agama.

Malaysia kini semakin berpotensi kerana semakin banyak pemimpin organisasi-organisasi Islam yang menjadi pakar berbagai bidang, menguasai “tools” dan kemahiran memimpin, dan pada masa yang sama bersikap terbuka dan bersedia menerima tunjuk ajar daripada ulama dan agamawan.

Apa yang lebih merisaukan ummah adalah keadaan di mana organisasi yang dipimpin oleh ulama tetapi tidak mahu mendengar nasihat ahli, terlalu ego dengan ilmunya, mudah marah, memaki hamun, mungkir janji, tidak pandai berkawan dan bergaul mesra, berubah-rubah pendirian, hatta mudah terperangkap dengan helah musuh.

Tunggulah saat kemusnahan, bahkan keadaan yang kelam-kabut dalam organisasi jika orang-orang seperti itu tidak bersedia untuk dipimpin oleh mereka yang benar-benar berkeahlian dalam kepemimpinan.

Maka lantaran itu Parti AMANAH Negara terus berusaha untuk melahirkan sepasukan para pemimpin negara daripada berbagai kepakaran sama ada pada tahap strategik atau operasional yang bersatu tenaga, demi menukar pimpinan negara yang sudah jauh tersasar melalui satu sistem demokrasi yang telus, bersih dan adil.

Terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana sudi mengenali dan menyokong usaha mulia ini.

Ustaz Haji Hasanuddin Mohd Yunus

Naib Presiden Parti AMANAH Negara

Sabtu 21Rabiul Awal 1437H
2 Januari 2016

Biasanya kita akan memusuhi apa yang kita tidak ketahui



BIASANYA KITA AKAN MEMUSUHI APA YANG KITA TIDAK KETAHUI 

Sejak zaman para anbiya dalam sejarah manusia, manusia akan memusuhi apa yang belum difahaminya.

Zaman al-Quran diturunkan pun Allah swt menjelaskan hal ini dalam beberapa ayat.

بَلْ كَذَّبُوا بِمَا لَمْ يُحِيطُوا بِعِلْمِهِ وَلَمَّا يَأْتِهِمْ تَأْوِيلُهُ ۚ

"Bahkan, mereka pula terburu-buru mendustakan Al-Quran yang fahaman mereka tidak dapat meliputi segala isi pengetahuannya, dan belum sampai kepada mereka (erti) sesuatu tafsiran". (Yunus: 39)

وَإِذْ لَمْ يَهْتَدُوا بِهِ فَسَيَقُولُونَ هَٰذَا إِفْكٌ قَدِيمٌ

"Dan setelah mereka tidak dapat menerima petunjuk Al-Quran itu, (mereka memusuhinya) lalu mereka mencacinya dengan berkata: "Al-Quran ini ialah rekaan dusta yang sudah lama" (Al-Ahkaf: 11)

Banyak pepatah Arab pula cuba menghuraikan lagi makna yang dipetik dari keindahan mesej ayat-ayat Allah swt ini.

" مَنْ جَهِلَ شَيْئًا عَادَاهُ "

"Sesiapa yang tidak mengetahui (jahil) pada sesuatu perkara, akan memusuhinya".

Malah daripada kaedah ini, ia berkembang kepada kaedah-kaedah lanjutan yang lain seperti:

"جهلك هو أسوأ عدو بك"

"Kejahilan anda adalah musuh terbesar anda".

Berasaskan misi penubuhannya untuk membawa Islam sebagai rahmah untuk semua, Parti AMANAH Negara akan terus memperkenalkan susuk dan misi perjuangannya dan tidak jemu-jemu untuk menjelaskan kepada ummah akan ancaman-ancaman yang didepaninya.

Kami dapati ada empat ancaman utama yang sedang melanda negara yang ummah perlu difahamkan:

1. Kerakusan pemimpin kepada harta adalah punca yang menghancurkan negara. Kepimpinan adalah amanah. Namun, kelihatan semakin jelas pemimpin negara yang rakus kepada harta, kuasa dan pangkat, sehingga mula membuang rakan mereka sendiri tatkala ada yang cuba memperingatkan mereka.

Juga, pemimpin rakus ini menutup kesalahan mereka dengan menyalahkan pemimpin silam mereka pula.

2. Mendekati agamawan sebagai strategi halus. Bagi membaiki imej tercalar, pemimpin rakus kini mula mencari teman-teman baru dari kalangan agamawan dan para lebai yang dilihat masyarakat sebagai orang agama.

Maka akan ada yang hanyut daripada perjuangan asal mereka dan akan ada yang tertipu. Itu sebenarnya adalah satu helah dan bukan bertujuan meminta agamawan menyemak imbang kesilapan pemerintah, supaya tidak menyalahgunakan khazanah negara dan seterusnya mendapat keampunan Allah swt.

3. Membangkit isu perkauman tatkala tersepit kerana strategi ini segera menarik simpati dan sokongan emosi bangsa. Pada sebahagian orang Melayu yang ada bibit-bibit kecil cemburu kepada kejayaan bangsa lain, akan mudah terkena api atau termakan jarum daripada pemimpin rakus yang amat halus ini.

Sesungguhnya, api ini amat bahaya dan mudah menyala. Marak bahaya bukan hanya kepada kaum tetapi keselamantan sebuah negara.

4. Mencorak imej baru inginkan hudud. Ini adalah strategi halus untuk mengabur mata ummah, dan terbukti jerat telah terkena mangsa. 

Ada pula percubaan untuk paparkan yang Parti AMANAH Negara sebagai penolak hudud, sedangkan parti ini terus berusaha gigih berjuang untuk meletakkan Islam yang sarat dengan keadilan, rahmah, kesatuan, kebebasan, keindahan, ketenangan kebahgiaan dan kebajikan, di puncak paling tinggi sebagai "ustaziatul alam".

Sebaliknya, pemimpin rakus ini, secara halus, menggunakan pula urusan teknikal seperti pertembungan enakmen negeri dan akta di Parlimen sebagai alasan dan permainan mereka untuk tidak pula melaksana hudud, yang dijanjikan, setelah umpan mengena mangsa.

Orang awam kini makin keliru dalam isu ini. Akhirnya, isu hudud hilang senyap begitu sahaja dan akan muncul lagi tatkala ia diperlukan untuk menarik emosi dan perhatian orang-orang Islam.

Parti AMANAH Negara komited untuk mempersembahkan erti sebenar penyatuan Melayu dan Islam tanpa menimbulkan ketakutan dan mengugut kaum dan agama lain. Terbukti, wawasan parti yang berasaskan prinsip ini mula mendapat sokongan berbagai kaum merentasi negara.

Momokan bahawa Parti AMANAH adalah tunggangan parti DAP telah ditolak oleh orang ramai yang mengetahui strategi-strategi halus mereka yang dipelajari daripada dasar pecah dan perintah tinggalan penjajah.

Teguran daripada parti-parti dalam PAKATAN HARAPAN akan tabiat pemimpin rakus harta dan kuasa ini, rupanya memberi kesan dan menakutkan mereka sehingga strategi halus di atas mereka mainkan.

Mari semua rakyat Malaysia kita tegur dan benteras kerakusan pemimpin yang bertopengkan pejuangan negara dan agama.

Mari mengenali Parti AMANAH Negara dengan lebih dekat agar mahabbah dan silaturahim antara rakyat terus bersemi kukuh.

Berilah peluang parti AMANAH dan PAKATAN HARAPAN untuk membina kehidupan baru selepas kita semua dikelirukan oleh rompakan harta negara sejak dulu seperti dalam kes BMF, Tabung Haji, Lembu, PERWAJA, 1MDB, RM2.6B, joli YAPEIM dan berbagai lagi.

Misteri pembunuhan Altantuya, Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Pendakwaraya Jabatan Peguam, mantan ADUN Terengganu akan terus menjadi tanda tanya. Ataukah ini amaran ancaman untuk menakutkan sesiapa yang ingin berkata benar?

Membiarkan rakyat mengharungi keperitan hidup dengan beban GST, kenaikan harga tol, tambang kos kenderaan awam, harga minyak, sewa dan nilai rumah kediaman, kenaikan harga barang keperluan dan kos pendidikan adalah tahap ketidakpedulian pemerintah yang amat memalukan.

Apatah lagi hanya untuk disambut dengan lawak jenaka badut-badut dari kabinet Perdana Menteri Malaysia.

Kalangan rakyat yang tidak memahami akan terus berada dalam kekeliruan dan kegelapan. Parti AMANAH akan bangkit membimbing dan mengenengahkan sesuatu yang sangat bererti buat negara.

Kami yakin setelah mengenali Parti AMANAH Negara, rakyat tidak akan memusuhi malahan akan terus mengenali dan berdiri padu bersama kami, demi membantu rakyat.

USTAZ HAJI HASANUDDIN MOHD YUNUS

Naib Presiden Parti AMANAH Negara

Rabu 18 Rabiul Awal 1437H 
30 Disember 2015

Monday, 30 November 2015

MARILAH JADI LELAKI YANG TERBAIK



MARILAH JADI LELAKI YANG TERBAIK

Hari ini 25 Nov 2015, sedang berlaku satu kempen yang sangat mulia dan diiktiraf oleh Islam.

Parti Amanah Negara akan berterusan membela dan memperjuangkan hak wanita, sebagaimana yang dikurniakan oleh Allah SWT Pencipta sekelian alam kepada mereka.

Contoh mudah penegasan dari Prophet Muhammad SAW untuk membela kaum wanita:

اِسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ خَيْرًا

“Aku wasiatkan kepada kalian untuk berbuat baik kepada para wanita.” (HR Muslim: 3729)

Kaum lelaki menjadi sebaik-baik lelaki apabila berlaku baik kepada wanita.

خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لأَهْلِى

“Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap isterinya, dan aku adalah yang paling baik terhadap istriku.” (HR Tirmidzi)

Ustaz Haji Hasanuddin Mohd Yunus 

MARI LATIH KEPIMPINAN BARU & MARI DIDIK PENGIKUT BERKUALITI


MARI LATIH KEPIMPINAN BARU & MARI DIDIK PENGIKUT BERKUALITI  

Berasaskan bimbingan Nabi Muhammad SAW:

" خِيَارُ أَئِمَّتِكُمُ الَّذِينَ تُحِبُّونَهُمْ وَيُحِبُّونَكُمْ ، وَتُصَلُّونَ عَلَيْهِمْ وَيُصَلُّونَ عَلَيْكُمْ،

وَشِرَارُ أَئِمَّتِكُمُ الَّذِينَ تُبْغِضُونَهُمْ وَيُبْغِضُونَكُمْ وَتَلْعَنُونَهُمْ وَيَلْعَنُونَكُمْ ........"

"Sebaik-baik pemimpin kamu adalah yang kamu menyayangi mereka dan mereka menyayangi kamu, kamu berdoa untuk mereka dan mereka berdoa untuk kamu,

Sejahat-jahat peminpin pula adalah mereka yang kamu membencinya dan mereka membencimu dan kamu melaknati mereka dan mereka melaknati kamu........"

1. Adakah rata-tata rakyat Malaysia sayang kepada pemimpin negara?

2. Adakah pemimpin negara memperbodohkan rakyat dan tidak berterus terang kepada mereka?

3. Adakah rakyat mendoakan pemimpin mereka dengan ikhlas?

4. Apakah pemimpin punya masa mendoakan rakyat Malaysia atau hanya menagih "undi" mereka sahaja?

5. Adakah rakyat kini sentiasa mengutuk dan sering mentertawakan pemimpin mereka?

6. Adakah kebanyakan pemimpin negara akhir-akhir ini rimas dengan orang ramai dan pengikut mereka sendiri?

7. Seringkah anda mendengar pemimpin mengutuk, menggelar dan mencerca orang ramai dan pengikut mereka sendiri?

Parti AMANAH NEGARA yang didokong oleh ramai rakyat Malaysia sedia membantu mereka yang dahagakan perubahan dan suasana baru di Malaysia.

Ustaz Haji Hasanuddin Mohd Yunus 

KHALIFAH YANG LARI MENYOROK DAN MARAH-MARAH


KHALIFAH YANG LARI MENYOROK DAN MARAH-MARAH

Sangat malu apabila melihat cara umat Islam dan pimpinannya mengendalikan masalah ummah pada hari ini.

Ketika masyarakat Cina dan India serta masyarakat berbilang kaum cuba menagih apa yang mereka rasakan hak mereka, pemimpin sebahagian gerakan Islam dan sebahagian ulamanya lari daripada menghadapi masalah ini.

Ini bertentangan dengan jiwa seorang khalifah. Seorang khalifah sewajarnya bangkit di meja perundingan dan mencari jalan keluar serta mencipta jalan penyelesaian.

Lebih menyedihkan, musnah kehaibatan seorang khalifah apabila mengisytiharkan anak-anak buah mereka sendiri sebagai musuh.

Kita sepatutnya memimpin dan memandu masyarakat bukan Islam bagaimana menjalani kehidupan bersama sebagai rakyat Malaysia.

Kita tidak boleh jemu memujuk masyarakat Islam dan bukan Islam untuk berkongsi kehidupan, kerana seorang khalifah merasakan mereka wakil kepada Tuhan di bumi ini.

Tugas wakil Tuhan adalah untuk mengatur bumi sebagaimana yang Tuhan kehendaki.

Khalifah seperti Nabi Daud dan Nabi Sulaiman a.s. mengurus manusia dengan penuh bijaksana tetapi tetap tegas.

Nabi Sulaiman a.s. mengurus dua ibu yang berebut-rebut mengaku si bayi sebagai anak mereka.

Nabi Sulaiman a.s. yakin salah seorang wanita itu pasti bukan ibu si bayi dengan meletakkan kebarangkalian salah seorang daripada ibu bayi itu salah faham atau menipu atau ada pelbagai kemungkinan lain.

Dengan ‘bijaksana’, ‘sabar’ dan menggunakan ‘ilmu’, Nabi Sulaiman a.s. menawarkan untuk mengerat dua bayi tersebut untuk dikongsikan.

Naluri sayangkan bayi sendiri membuat ibu sebenar berundur demi menyelamatkan bayinya. Kasih dan sayang semulajadi seorang wanita terserlah.

Adapun seorang lagi yang hidup dalam keadaan menipu; bersetuju untuk dibelah dua, terserlah kehilangannya terhadap erti sebuah sayang.

Pemimpin gerakan Islam dan ulamanya perlu menunjukkan bahawa kita berjiwa khalifah. Kita penyelesai masalah dan pengatur hidup manusia, walau dalam kalangan manusia ada yang merancang untuk menipu kita sendiri.

Kita adalah pemimpin kepada manusia yang baik dan yang tidak baik atau yang belum baik.

Ayuh! Masih ada masa dan peluang untuk pemimpin gerakan Islam dan ulamanya serta pengikut-pengikut mereka, untuk keluar dari alam persembunyian dan kita bersama-sama memimpin dunia dan karenahnya.

AMANAH NEGARA menyambut penghijrah anda beramai-ramai ke satu wadah perjuangan baru.

Ustaz Haji Hasanuddin Mohd Yunus


ELAK MEMPERKECILKAN INSAN YANG MENDIRIKAN SOLAT



ELAK MEMPERKECILKAN INSAN YANG MENDIRIKAN SOLAT

Kekadang malu juga membaca komentar segelintir masyarakat yang tidak faham keutamaan menyegerakan dan memilih lokasi solat itu sendiri.

Saya percaya Alllah SWT akan menghukum mereka yang dengan niat jahat memperkecilkan saudara-saudara seislam kita yang mendirikan solat dengan ikhlas dan menepati sunnah Baginda SAW.

Sekiranya komentar belandaskan kurang ilmu; dihidangkan di sini sebahagian kecil hujjahnya ya!

Semoga sempat memohon keampunan Allah SWT dan memohon kemaafan dari ribuan yang mendirikan solat tersebut.

Ketika kita dalam operasi, musafir dan kepayahan, kita disunatkan solat di tempat yang mudah dicapai.

Sebagai contoh gembala/penternak kambing di zaman Rasulullah SAW merasa bersalah tidak dapat solat di mana laungan azan dikumandangkan.

Lalu baginda SAW memberi nasihatnya:

عن عبد الله بن مغفل المزني قال: قال النبي صلى الله عليه وسلم صلوا في مرابض الغنم ولا تصلوا في أعطان الإبل فإنها خلقت من الشياطين

Dari Abdullah bin Mughaffal Al-Muzani ra. berkata bahwa Rasulullah SAW bersabda,

"SOLATLAH DI KANDANG KAMBING dan jangan shalat di kandang unta, karena dibuat dari syetan." (HR Ibnu Majah)

Malah asasnya:

"جُعلت لي الارض مسجداً وترابها طهوراً، اينما ادركتني الصلاة
صليت"

"Telah dijadikan bumi buatku sebagai masjid, dan tanahnya suci. Oleh itu di mana sahaja aku berkesempatan di situlah aku solat."

(petikan hadis Bukhari)

"Malaysia Menuju Negara Rahmah"

Ustaz Haji Hasanuddin Mohd Yunus

PENDAKWAH YANG BERMANFAAT



"Ikan selagi bernyawa dalam lautan yang masin tidak akan terkesan sebagaimana ia dilumur garam ketika ia sudah tidak bernyawa"

Campakkan para pendakwah ke mana sahaja; kita harap dia akan bermanfaat kepada alam kerana dia ada ciri- ciri ikan.

Dia akan pertahan dirinya dari dicemari selagi nyawa dan hasil tarbiyah yang dilalui dipertahankan.

SABAQAL MUFARRIDUN



SABAQAL MUFARRIDUN

سبق المفردون

TELAH MENDAHULUI GOLONGAN YANG MENGESAKAN ALLAH

Saya bergaul dengan ahli zikir yang kadang-kadang degil tidak mahu campur urusan dunia; tidak mahu terlibat dalam Amar Makruf dan Nahi Mungkar.

Saya juga bergaul dengan ahli harakah dan politik yang banyak bercakap untuk ubah negara dan alam, sedangkan hati mereka kering dan kurang berzikir.

Saya mengidamkan satu suasana dimana mereka yang gigih dalam alam harakah dan alam siasah; hatinya kuat berzikir "Mengesakan Allah SWT".

Kerana janji Nabi SAW bahawa mereka yang banyak mengesakan Allah SWT akan MENDAHULUI dan BERJAYA.

رواه مسلم في صحيحه عن أبي هريرة رضي الله عنه ولفظه: كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يسير في طريق مكة فمر على جبل يقال له جمدان فقال: سيروا هذا جمدان سبق المفردون، قالوا: وما المفردون يا رسول الله؟ قال: الذاكرون الله كثيرا والذاكرات. والحديث صحيح،

Dipetik dari Hadis Sohih Muslim; ketika Rasulullah SAW berjalan di lorong-lorong Mekah, lalu baginda melintasi sebuah bukit yang dipanggil dengan nama Bukit Jumdan.

Maka baginda SAW berkata:

"Berjalanlah, ini Bukit Jumdan, sesungguhnya kaum Mufarridun telah mendahului.”

Mereka bertanya:

“Siapakah kaum Mufarridun itu wahai Rasulullah?”

Baginda menjawab:

“Lelaki dan wanita yang banyak berzikir mengingati Allah.”

Dan dalam sebuah hadis bertaraf Hasan Gharib pula, baginda SAW bersabda:

سيروا سبق المفردون، قالوا : وما المفردون قال : الذين يستهترون فى ذكر الله يضع الذكر عنهم أوزارهم وخطاياهم، فيأتون يوم القيامة خفافا

Maksudnya:

“Berjalanlah kamu semua, BERJAYALAH golongan al-mufarridun"

Sahabat bertanya:siapakah al-mufarridun itu?

Jawab baginda:

"Mereka ialah orang-orang yang tenggelam dalam zikrullah. Zikir mereka telah menggugurkan dosa-dosa mereka lalu mereka dibangkitkan pada hari kiamat dalam keadaan ringan (dari bebanan dosa)”

Alangkah baiknya ahli politik dan mereka yang menggelarkan diri mereka ahli harakah; yang berjuang untuk membina negara, mereka memperbanyakkan mengesakan Allah SWT.

لا اله الا الله لا إله إلا الله لا إله إلا الله 

Nescaya mereka akan MENDAHULUI dan BERJAYA dalam medan yang mereka ceburi.

------------------

Perkataan SABAQA diterjemahkan dengan maksud mendahului, berjaya atau menang

Perkataan MUFARRIDUN diterjemahkan dengan maksud golongan yang mengesakan Allah SWT

------------------

Ustaz Haji Hasanuddin Mohd Yunus

APAKAH MENGALIR AIR MATA AHLI POLITIK ISLAM KETIKA BANGUN TAHJUD DI TENGAH MALAM?




APAKAH MENGALIR AIR MATA AHLI POLITIK ISLAM KETIKA BANGUN TAHJUD  
DI TENGAH MALAM?

Tahniah! Mereka yang bangkit cuba menyusun kekusutan politik negara.

Tahniah! Mereka yang berani bangkit menegur kepincangan para Menteri dalam mengurus tadbir negara.

Tahniah! Mereka yang menegur penjawat awam yang lembab dan tidak berani membuat penguatkuasaan apabila ada rasuah, pecah amanah dan ketirisan.

Ya! Kita semua ahli politik yang dikagumi apabila inginkan negara diurus dengan baik. Walau kita bukan aktivis mana-mana partai politik. TERUSKAN teguran-teguran itu.

NAMUN adakah kita pada waktu yang sama berkesempatan bangun di tengah malam sebagaimana Imam Auzaie yang jauh lebih alim dan warak dari kita?

دخلت إحدى النساء على زوجة الإمام الأوزاعي رحمه الله فرأت تلك المرأه بللاً في موضع سجود الأوزاعي ، فقالت لزوجة الأوزاعي : ثكلتك أمك !! أراك غفلت عن بعض الصبيان حتى بال في مسجد الشيخ ( أي مكان صلاته بالليل ) فقالت لها زوجة الأوزاعي : ويحك هذا يُصبح كل ليلة !! من أثر دموع الشيخ في سجوده .

Salah seorang wanita menziarahi isteri Imam Auzaie dan dia terpandang kesan basah di tempat sujud Imam Auzaie.

Lalu dia menegur isteri Iman Auzaie:

"Apalah kecuaian engkau sehingga kanak-kanak masuk dan kencing di tempat sujud Imam Auzaie (tempat solat malamnya).

Jawab isteri Imam Auzaie:

"Apalah engkau ini! Kejadian sebegini berlaku setiap malam; Inilah kesan tangisan curahan air mata Imam Auzaie ketika sujudnya"



USTAZ HAJI HASANUDDIN MOHD YUNUS

JANGAN MUDAH MENUDUH ATAU MENGGELAR (WALAU DALAM HATI) APATAH LAGI......



JANGAN MUDAH MENUDUH ATAU  
MENGGELAR (WALAU DALAM HATI) APATAH LAGI......

Sangat hairan bila terdengar dan terbaca tuduhan, fitnah dan gelaran yang dilemparkan kepada orang lain.

Yang dituduh dan yang dapat gelaran meluahkan rasa tidak selesa. Kecil hati....Terluka.

Masyarakat semakin hilang kepercayaan kepada penuduh dan yang mudah mengelar orang lain.

Khutbah Jumaat di sebuah masjid minggu lepas memaparkan ungkapan dan rasa bersalah seorang alim lagi wara' Sheikh Sufian as-Tsauri:

قال سفيان الثوري رحمه الله

حرمت قيام الليل خمسة أشهر بسبب ذنب أذنبته قيل وما هو :
قال رأيت رجلا يدعو الله ويبكي فقلت في نفسي هذا رياء

"Aku tak mampu bangun qiamullail selama 15 bulan disebabkan satu dosa yang telah aku kerjakan.

Lalu ditanya apakah dosa itu?

Sufian menjawab: "Aku nampak seorang lelaki sedang berdoa kepada Allah dalam keadaan menangis teresak-esak, lalu aku berkata dalam diriku: "dia riya'"


USTAZ HAJI HASANUDDIN MOHD YUNUS

HALUSNYA JIWA NABI IBRAHIM A.S



HALUSNYA JIWA NABI IBRAHIM A.S

Ketika berhadapan dengan zaman yang penuh cabaran, salah sangka, fitnah dan perancangan musuh yang memecahbelahkan ini, wajar sangatlah kita tingkatkan lagi kehalusan jiwa dan kebergantungan kita kepada Allah SWT.

Kita akhirnya perlu membuat keputusan dalam konflik yang berlaku.

Kita perlu tegas dengan keputusan yang dibuat. Kerana ia dibuat berdasarkan dalil, bukti, hujjah, maklumat dan ianya penuh dengan kebijaksanaan.

Selepas kita tekad, kita perlu serahkan segalanya kepada Allah SWT dan kekal konsisten dengan keputusan yang dibuat.

MELUAHKAN KEPUTUSAN DAN MENYERAHKANNYA KEPADA ALLAH SWT SANGAT PENTING.

Sebagaimana Nabi Ibrahim a.s meluahkan harapan dan doa; namun baginda akhirnya menyerahkan kepada Allah SWT apa yang sewajarnya buat baginda, walaupun berbeza dengan apa yang dipinta.

Nabi Ibrahim a.s memulakan doa agar isteri dan anaknya diurus oleh Allah SWT sepemergiannya ke Palestin menyambung tugas dan amanahnya di sana.

رَبَّنَا إِنِّي أَسْكَنْتُ مِنْ ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ عِنْدَ بَيْتِكَ الْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُوا الصَّلَاةَ فَاجْعَلْ أَفْئِدَةً مِنَ النَّاسِ تَهْوِي إِلَيْهِمْ وَارْزُقْهُمْ مِنَ الثَّمَرَاتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ

"Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.

(Surah Ibrahim 37)

Malah dilafazkan harapan agar anak, isteri dan zuriyat ini selamat terperlihara, menjadi muslim yang mendirikan solat, mereka dapat menarik seberapa ramai manusia dan menyeru mereka kepada Allah akhirnya, makmur meriah dengan pelbagai rezeki dan mereka menjadi umat yang bersyukur.

Itu harapan dan cita-cita yang didoakan.

Dalam pada itupun baginda a.s akhirnya menyerahkan hakikat sebenarnya kepada Allah SWT dengan doa berikutnya:

رَبَّنَا إِنَّكَ تَعْلَمُ مَا نُخْفِي وَمَا نُعْلِنُ ۗ وَمَا يَخْفَىٰ عَلَى اللَّهِ مِنْ شَيْءٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ

"Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau mengetahui akan apa yang kami sembunyikan dan apa yang kami zahirkan; dan tiada sesuatupun di langit dan di bumi, yang tersembunyi dari Allah!

(Surah Ibrahim 38)

Ibnu Katsir dalam tafsirnya menyebutkan Nabi Ibrahim a.s menegaskan dia sebenarnya bermaksudkan ridha Allah yang diburu.

Dia dengan penuh yakin menyebutkan bahawa Allah SWT Maha mengetahui apa yang kita sembunyikan dan apa yang kita laungkan.

Lantaran itu akhir doanya seolah-olah membawa maksud Allah SWT jua lah sasaran harapannya. Sudah tentu Allah SWT jualah yang akan mentaqdirkan sesuatu yang baik buatnya dan zuriyatnya.

Maka dalam dunia perbezaan pendapat, tegaslah setegas-tegasnya tetapi keridhaan Allah SWT jua maksud kita, walau terpaksa berbeza.

Maka:

1. Jangan putuskan persaudaraan

2. Jangan sampai mengkafir atau membodohkan saudara kita

3. Jangan sampai tidak menghormati pandangan, paling tidak kena bersedia dan sabar untuk mendengar

4. Jangan memfitnah saudara kita walau kita tidak suka sikap, pandangan dan perbuatannya

5. Jangan menggelar mereka dengan gelaran yang mereka tidak senangi....

Kekallah menghormati mereka di mana sahaja mereka berada.

قال ابن جرير: يقول تعالى مخبرا عن إبراهيم خليله أنه قال " ربنا إنك تعلم ما نخفي وما نعلن " أي أنت تعلم قصدي في دعائي وما أردت بدعائي لأهل هذا البلد وإنما هو القصد إلى رضاك والإخلاص لك فإنك تعلم الأشياء كلها ظاهرها وباطنها لا يخفى عليك منها شيء في الأرض ولا في السماء.


USTAZ HAJI HASANUDDIN MOHD YUNUS

Kebijaksanaan Sultan Muhammad Al Fatih



Alhamdulillah sempat berforum Radio IKIM.FM Bicara Ad-Deen bersama Ustaz Mohamad Abdullah Al-Amin bertajuk Pembinaan Generasi Al-Fatih.

Lokasi menarik di rangkaian sekolah IKRAM-Musleh; Sek Islam dan Tahfiz Hira' Jeram.

Beliau menekankan, kelemahan suatu kaum adalah disebabkan mereka berada di zon selesa. Tidak berjuang.

Saya menekankan kehebatan dan kebijaksanaan Sultan Muhammad Al-Fatih yang perlu ditiru oleh generasi baru kita sejak di bangku sekolah lagi:

1. Menguasai ilmu

2. Terlatih untuk jadi bijaksana 

3. Hafaz sebanyak mungkin al-Quraan

4. Diasah kepimpinan mereka

5. Ajar mereka sabar dan berani buat keputusan sendiri

6. Kuasai pelbagai bahasa. Termasuk Mandarin, Tamil; Iban, Kadazan, Murut dll

7. Tingkatkan ketinggian kerohanian

8. Berani berkomunikasi dengan pelbagai pihak



USTAZ HAJI HASANUDDIN MOHD YUNUS

MUNGKAR: DALAM MENGURUS KEPENTINGAN RAKYAT


MUNGKAR: DALAM MENGURUS KEPENTINGAN RAKYAT

Saya sempat bermuzakarah dengan insan ini.

Dia memahami mungkar ada pelbagai jenis.

Dalam menangani mungkar yang dia rasa itu bidang pilihannya; dia wakafkan dirinya untuk itu.

Dia ingin selamatkan negara.

Dan dia akan fokus kepada golongan yang "belum masuk masjid" dan terbiar di luar sana. Golongan yang tidak memahami apa yang sedang berlaku kepada negara.

Adanya insan sebegini; gerakan dakwah dan para ulama' wajar menyambut tangannya untuk sama2 jadikan titik permulaan dalam menghadapi mungkar-mungkar yang lain.

Seterusnya menjadikan mereka pejuang agama yang sebenarnya walau proses itu panjang.

Kekadang rasa malu apabila beliau bersungguh-sungguh mencegah mungkar manakala di satu pihak MENGHALALKAN mungkar.

:
لَوْلَا يَنْهَاهُمْ الرَّبَّانِيُّونَ وَالْأَحْبَارُ عَنْ قَوْلِهِمْ الْإِثْمَ وَأَكْلِهِمْ السُّحْتَ لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَصْنَعُونَ

“Alangkah baiknya kalau ketua-ketua ugama dan pendita-pendita mereka melarang mereka dari PERKATAAN-PERKATAAN YANG DUSTA dan MEMAKAN YANG HARAM? Sesungguhnya amatlah buruk apa yang dilakukan oleh pendita-pendita itu (kerana tidak melarang).” (Al-Maidah 5: 63)

Ibni Katsir ketika mengulas ayat ini membawa kata-kata berikut:

قال: أيها الناس إنما هلك من كان قبلكم بركوبهم المعاصي ولم ينههم الربانيون والأحبار ......

"Umat terdahulu dari kamu musnah kerana mereka berbuat maksiat dan ULAMA' serta PENDITA mereka TIDAK MENEGAH mereka......"

Dan dipetik lagi:

قال: سمعت رسول الله - صلى الله عليه وسلم - يقول:" ما من رجل يكون في قوم يعمل فيهم بالمعاصي يقدرون أن يغيروا عليه فلا يغيرون إلا أصابهم الله بعقاب قبل أن يموتوا"

Nabi SAW bersabda: "mana-mana lelaki yang bermaksiat, hidup dalam satu kaum yang mana kaum itu mampu menegahnya tetapi mereka tidak menegahnya melainkan mereka semua akan dihukum sebelum mereka semua mati"

Marilah para ulama' bangkit cegah maksiat yang menggadaikan dan mempertaruhkan harta rakyat


USTAZ HAJI HASANUDDIN MOHD YUNUS

BERBAIK-BAIK DENGAN BUKAN ISLAM ADALAH TUNTUTAN DAKWAH



BERBAIK-BAIK DENGAN BUKAN ISLAM ADALAH TUNTUTAN DAKWAH

Saya sangat simpati apabila ahli-ahli IKRAM dan beberapa kumpulan pendakwah serta ulama yang berdakwah siang dan malam dituduh dengan pelbagai tuduhan dan fitnah.

Antaranya, mereka dituduh menjadi ejen (keldai) DAP ketika mereka sedang mengadakan "engagement" dengan parti tersebut.

Dalil yang digunakan antaranya:

وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لَا تُنْصَرُونَ

"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim, maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain daripada Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan."
(Hud: 113)

Mari kita lihat apa yang disebut oleh Ibnu Katshir ketika mengulas ayat tersebut.

وقوله "ولا تركنوا إلى الذين ظلموا" قال علي بن أبي طلحة عن ابن عباس: لا تداهنوا وقال العوفي عن ابن عباس: هو الركون إلى الشرك.

وقال أبو العالية لا ترضوا بأعمالهم وقال ابن جرير عن ابن عباس: ولا تميلوا إلى الذين ظلموا وهذا القول حسن أي لا تستعينوا بالظلمة فتكونوا كأنكم قد رضيتم بأعمالهم "فتمسكم النار وما لكم من دون الله من أولياء ثم لا تنصرون" أي ليس لكم من دونه من ولي ينقذكم ولا ناصر يخلصكم من عذابه.

Saya percaya mana-mana gerakan Islam yang pergi bertemu dengan DAP dan kumpulan bukan Islam lainnya, memahami garis panduan al-Quran ketika berinteraksi dengan mereka.

Mereka dengan jelas bertanya kepada diri mereka sendiri sebelum bertemu dengan sesiapa di luar sana:

1. Adakah mereka terlibat dan menyokong perbuatan syirik?

2. Apakah mereka menolong orang-orang zalim?

3. Apakah mereka redha dengan amal-amal buruk masyarakat tersebut?

Kalau ada, memang mereka layak dibakar oleh api neraka.

Tetapi apa yang berlaku, mereka menghargai hasrat DAP dan kumpulan bukan Islam (belum Islam) yang ingin negara diurus secara "good governance" dan telus serta ingin menghapuskan rasuah dan pecah amanah.

Itu adalah hasrat yang baik untuk negara.

Mendengar suara mereka adalah sebahagian daripada usaha mengetengahkan suara Islam.

Sebaik saja mereka melakukan kesilapan, IKRAM bangkit memberi teguran dan penerangan.

Ketangkasan Hj Zaid Kamaruddin Naib Presiden IKRAM begitu terserlah ketika memberi komentar di BH Online pada 16 Jan 2015 terhadap twitter Eric Paulsen yang menimbulkan isu kontroversi dan provokasi yang mendakwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mempromosikan ekstremisme pada setiap Jumaat.

Ini diikuti dengan rencana saya di ruangan Pendapat, Sinar Harian pada 17 Jan 2015 bertajuk: "Pertahan Keharmonian Bumi Malaysia".

Ketika Teresa Kok mempertikai kod pakaian semasa berinteraksi di jabatan-jabatan kerajaan, kami juga memberi teguran kepada beliau secara profesional.

Mendengar serta menerima atau memberi teguran terhadap suara dan pendapat teman-teman dari DAP dan bukan Islam adalah sebahagian tugas rakyat Malaysia, dan IKRAM serta kumpulan pendakwah/ulama lainnya menjadi contoh dalam hal ini.

Saya menyeru ahli-ahli IKRAM untuk terus istiqamah melaksanakan dakwah dan bersabar terhadap "guru-guru agama" yang belum menguasai ilmu dakwah dan berani pula membuat tuduhan melulu seumpama itu.

Ustaz Haji Hasanuddin Mohd Yunus

Resapkan ilmu al-Quran ke segenap inci bumi


Pesanan Buat Ahli-Ahli Pertubuhan IKRAM Malaysia  

Dalam apa pun keadaan kita hanya inginkan perubahan dan ISLAH.

Kita ingin perubahan pada pemerintah agar lebih amanah, berkebajikan kepada rakyat, mengagih kekayaan negara seadilnya dan memelihara keamanan dalam negara.

Kita tidak mahu pemerintah rakus mengikut hawa nafsu mereka.

Maka kita lakukan ISLAH.

Pada waktu yang sama kita inginkan pembangkang yang mantap. Berani dan tepat bila melakukan 
teguran. Mendapat kepercayaan rakyat bukan menjerit toghut sana dan toghut sini tanpa mendapat seat di Parlimen.

Bila dua parti besar sama kuat maka wujudlah dwi-parti yang membuka ruang untuk menguntungkan pengurusan negara dan berlakunya check and balance.

Kita lakukannya kerana Allah.

Ada tuduhan IKRAM, JIM atau IRC menyelusup masuk ke sana sini, katakan kepada mereka ilmu al-Quraan yang kita pelajari; memang untuk diresapkan ke segelinap inici bumi ini demi kebaikan negara dan ummah.

Mereka boleh menilai dengan bebas dan matang terhadap amal ikhlas kita semua.

Kata2 Nabi Shuaib a.s (antaranya) sentiasa segar dalam ingatan kita ketika kita duduk dalam usrah saban minggu.

قَالَ يَا قَوْمِ أَرَأَيْتُمْ إِنْ كُنْتُ عَلَىٰ بَيِّنَةٍ مِنْ رَبِّي وَرَزَقَنِي مِنْهُ رِزْقًا حَسَنًا ۚ وَمَا أُرِيدُ أَنْ أُخَالِفَكُمْ إِلَىٰ مَا أَنْهَاكُمْ عَنْهُ ۚ إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ ۚ وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّهِ ۚ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ

Nabi Syuaib berkata:

"Wahai kaumku! Bagaimana fikiran kamu, jika aku berdasarkan bukti yang nyata dari Tuhanku, dan Ia pula mengurniakan daku pangkat Nabi sebagai pemberian daripadaNya, (patutkah aku berdiam diri dari melarang kamu) sedang aku tidak bertujuan hendak melakukan sesuatu yang aku melarang kamu daripada melakukannya? AKU HANYA BERTUJUAN HENDAK MEMPERBAIKI SEDAYA UPAYA KU; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali"

He said: "O my people! see ye whether I have a Clear (Sign) from my Lord, and He hath given me sustenance (pure and) good as from Himself? I wish not, in opposition to you, to do that which I forbid you to do. I only desire (your) betterment to the best of my power; and my success (in my task) can only come from Allah. In Him I trust, and unto Him I look"

Hud 88

Ustaz Hj Hasanuddin Mohd Yunus
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...