Tuesday, 17 July 2012

Berdampinglah dengan ahli ibadat




Berdampinglah dengan ahli ibadat


Beruntung sungguh, kita diberi peluang terikat dalam sistem tarbiah dan dakwah.

Ia mengawal pergaulan kita pada setiap hari, minggu, bulan dan tahun.

Kalau kita perasan, hari ini, kita akan mendapat peringatan dari Allah S.W.T dalam perkara penting seperti ini.

Ada pesanan penting untuk semua kita hari ini. Bacalah pesanan itu ya....

وَاصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُم بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُ ۖ وَلَا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ تُرِيدُ زِينَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُ عَن ذِكْرِنَا وَاتَّبَعَ هَوَاهُ وَكَانَ أَمْرُهُ فُرُطًا


Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.


1. Kalau kita kurang berzikir, pilihlah untuk banyak bersama orang yang kita rasa lebih banyak berzikir dan lebih banyak berdoa dari kita, pada waktu pagi dan petang

2. Berkawanlah dengan orang yang benar-benar terbukti sentiasa mencari keredhaan Allah dalam hidupnya; sanggup berkorban keranaNya. Jelas tiada kepentingan peribadi.

3. Walau kita sibuk mengurus kehidupan mencari nafkah dan kekayaan hidup; jangan sampai kita menggadai persahabatan dan ukhuwah kita dengan mereka yang terbukti kuat berzikir, berdoa dan memburu keredhaan Allah dalam hidup mereka. Jangan terputus hubungan dengan mereka

4. Walau kita kena bergaul dengan masyarakat, ahli politik, menteri, istana, VIP, golongan koprat dll dengan alasan berdakwah dan membina networking kononnya; jangan sampai kita jual prinsip sehingga tergadai erti perjuangan

5. Golongan itu kebanyakannya (tidak semua ya...) belum berpeluang hidup dalam lingkungan tarbiah. Mereka kebanyakannya lalai dan leka. Serakah hawa nafsunya. Kalau kita terlalu banyak bagi masa dengan mereka, sedangkan kita mula memandang remih pertemuan kita dalam usrah dan majlis-majlis ilmu, tidak mustahil kita akan hanyut. Awas mereka boleh merosakkan hati kita tanpa mereka dan kita sedari.

Ayat dari Surah Kahfi yang kita tercungap-cungap untuk menghabiskan tilawahnya hari ini, tidak pula membunuh semangat kita berdakwah kepada mereka.

Surah ini hanya memberi peringatan kepada kita; jangan sampai terjadi, bertukar dari seorang pendakwah yang pandai merayu tiba-tiba tanpa disedari menjadi seorang manusia yang asyik mengampu.

Allah akan memberi mengikut amalmu





Inilah ungkapan seorang pejuang salaf yang dilihat orang sufi sebagai Sultan Aulia. Kata-kata ini menjadi prinsip saya sejak dibangku sekolah rendah lagi 


“Janganlah kamu takut kepada makhluk dan janganlah kamu berharap kepada mereka, kerana hal itu menunjukkan betapa lemahnya imanmu. Hendaklah engkau istiqamah dalam cita-citamu, sehingga engkau memperolehi ketinggian, kerana Allah SWT akan memberimu sesuatu yang layak dengan cita-citamu, dengan kebenaran dan keikhlasanmu. Bersungguh-sungguhlah engkau, songsong dan kejarlah, kerana sesuatu itu tidak akan datang kepadamu begitu sahaja, tanpa berusaha memperolehinya, sedangkan engkau mempunyai kewajiban untuk melakukan amal kebaikan sebagaimana engkau diwajibkan untuk mencari rezeki.”

Tiada Masa Untuk Dilengahkan Lagi








Gerakan tajdid atau mujaddid itu sendiri, akan sentiasa berusaha untuk memastikan perubahan yang ingin kita lakukan bersumber dari sumber yang satu. Ia tidak pernah terpisah-pisah sebagaimana yang kita rasakan hari ini.

Dalam keadaan kita dan ummah merasa ia terpisah, ayuh kurangkan bicara, kurangkan perdebatan cantumkan segala ilmu yang ada untuk memimpin ummah.

إِحَالَتُكَ الأَعْمَالَ عَلَى وُجُوْدِ الفَرَاغِ: مِنْ رُعُوْنَاتِ النَّفْسِ.


Menangguh amal untuk menanti masa lapang adalah termasuk tanda kita menurut hawa nafsu

Siapakah pengungkap kata-kata ini? Kalau kita merasakan tidak sangka itulah orangnya; itu adalah tanda kita telah mula terlibat dalam gerakan tajdid yang diperlukan hari ini. Kita beramai-ramai dalam saf ummah ini berjaya mencantumkan ilmu dan aliran yag kelihatan terpisah-pisah.

Akhirnya, mari kita buktikan kita tidak tunduk kepada nafsu ketika memperjuangkan Islam ini. Salah satu tanda orang yang tewas kepada nafsu; apabila dia gemar menangguh-nangguhkan kerja, dan menanti dan mencari-cari waktu lapang untuk beramal.


Perintah Allah kepada Nabi Daud:

فاحكم بين الناس "Maka jatuhkan hukum buat sesama manusia" perlu diterjemahkan kepada buatkanlah keputusan untuk mereka

Nikmat luar biasa Allah ialah pintu pengenalanNya





Dalam banyak keadaan kita rasa kita tidak layak menerima nusrah Allah, tetapi kita menerimanya jua.

Banyak nikmat luar biasa dari Allah yang kita kecapi, walau kita rasa kita tidak layak menerimanya.

Terselamat dari malapetaka kemalangan jalanraya, belajar di Univ dalam atau luar negara.

Kenaikan pangkat, keuntungan dalam perniagaan, kesihatan, pasangan yang ideal (paling tidak "yang ok"), ibubapa yang solih dan solihah, kita masih seorang muslim dan bersama orang-orang beriman, anak-anak yang berjaya atau ribuan nikmat lain yang sedang kita terima ini.

Nikmat luar biasa ini sebenarnya peluang dari Allah S.W.T buat kita untuk semakin mengenaliNya. Bahasa orang sufi ialah ma'rifatullah. Kita semakin hampir denganNya, kita semakin kenal denganNya selepas menerima nikmat-nikmat tersebut.

Tertanya-tanya kenapa Allah berikan khusus kepada kita nikmat-nikmat itu, sedangkan, amalan dan pengorbanan kita buat agama Allah S.W.T ini terlalu sedikit, tidak setimpal dengan kurniaanNya adalah tarbiyah yang sangat penting buat kita semua.

Ibnu Athaillah ada menyusun dalam ungkapan indahnya, buat mereka yang pandai menghargai nikmat-nikmat luar biasa Allah S.W.T itu:

إِذَا فَتَحَ لَكَ وِجْهَةً مِنَ التَعَرُّفِ فَلَا تُبَالِ مَعَهَا إِنْ قَلَّ عَمَلُكَ؛ فَإِنَّهُ مَا فَتَحَهَا لَكَ إِلَّا وَهُوَ يُرِيْدُ أَنْ يَتَعَرَّفَ إِلَيْكَ، أَلَمْ تَعْلَمْ: أَنَّ التَّعَرُّفَ هُوَ مُوْرِدُهُ عَلَيْكَ، وَالأَعْمَالَ أَنْتَ مُهْدِيْهَا إِلَيْهِ! وَأَيْنَ مَا تُهْدِيْهِ إِلَيْهِ مِمَّا هُوَ مُوْرِدُهُ عَلَيْكَ؟

Jika Allah membuka pintu perkenalanNya denganmu, jangan hiraukan kenapa ia terjadi, walaupun kita merasakan tidak layak kerana sedikitnya amalan kita. Allah membukakannya buatmu kerana Dia sendiri yang ingin memperkenalkan diriNya kepada mu. Tidakkah engkau mengetahui, bahawa perkenalan itu adalah anugerahNya kepada mu sedangkan amalanmu itu adalah sesuatu yang cuba kamu persembahkan kepadaNya. Maka, lihatlah satu perbezaan yang sangat besar, apa yang kamu cuba persembahkan kepadaNya dengan apa yang Allah kurniakan kepadamu?

Rapatkan hubungan dengan Allah Selamat dari fitnah








Surah at-Tin: Allah S.W.T bersumpah dengan Bumi Syam, Bukit Sinai (sebahagian Mesir) dan Mekah. Allah bersumpah dengan bumi Anbiya'.

Tumpahnya darah Syuhada' Palestin', di Gaza dan Tebing barat telah membakar semangat penduduk dunia untuk membantu mereka.

Semoga tumpahnya darah umat Islam di Iraq dan Syria, menyedarkan rakyat Malaysia yang terpengaruh dengan Syiah. Mereka penuh dengan "taqiah" dan "Tauriah".

Pembunuhan saudara kita di Iraq oleh penganut fahaman Syiah, semasa dan selepas penaklukan USA dan sekutunya di iraq, mengambarkan hati budi aliran Syiah itu sendiri.

Pembunuhan saudara kita di Syria menjelaskan siapa dan apa itu Syiah kepada penduduk dunia Islam.

Namun kita bimbang. Kekeliruan akan berlaku sementara menanti kebangkitan al-Haq.

1. Maranya mujahid dari bumi Saudi, Kuwait dan negara teluk yang lain akan disambar oleh blok barat yang bimbang dengan kebangkitan ini.

2. Kita tidak boleh membiar saudara kita terus disembelih oleh Syiah dan kita juga tidak menghalalkan campur tangan kuffar Barat mahupun Timor.

3. Masyarakat berrcakap keikhlasan negara Teluk yang membantu, bukan kerana bimbang jatuhnya pemerintah Arab satu persatu; lantaran bimbang pengulingan diktator berjangkit ke negara mereka pula.

Rapatkan hubungan dengan Allah S.W.T agar kita segera keluar dari zaman fitnah ini sebagai hambaNya yang bertaqwa....

A Word To A Wise Man Is Enough

A Word To A Wise Man Is Enough
حسب الحكيم كلمة واحدة

ان اللبيب من الاشارة يفهم
Sesungguhnya Orang Yang Beraqal Memadai Isyarat Dia Dapat Memahami

العبد يقرع بالعصا # والحر تكفيه الاشارة
Seorang Hamba Bekerja Keras Dengan Tongkatnya
Seorang Yang Merdeka Memadai Dengan Isyarat-Isyarat Yang Ada



Ilmu akan berkitar-kitar sekeliling kita...حياة العلم بالمذاكرة 

Godaan syaitan التزيين التلبيس dalam pemakanan








Diabetes Type II DM boleh dikawal. Pilihan jenis makanan, kuantiti makanan dan senaman antara kawalan yang penting.

Nafsu makan perlu diurus dengan betul. Mengelak senaman juga adalah tanda kegagalan mengurus nafsu.

Syaitan tahu kelemahan manusia.

Melalui التزيين dia akan menghiasi dan membuat sesaorang naik selera terhadap makanan yang manis dan bahaya.

Melalui التلبيس dia akan mengkaburkan dengan mengatakan kenapa nak haramkan makan nasi yang halal tu? Allah ciptakan pulut dan ubi, salahkah makan bila dibuat tapai?

Melalui التسويف Alah! besok boleh senam...Nanti turunlah gula tu....Makan ubat baiklah buat apa kawal makan.....

Banyak lagi cara syaitan goda pesakit diabetes ini...






Kreativiti itu dari Allah swt





Kreativiti itu dari Allah swt


إذا أراد أن يظهر فضله عليك: خلق ونسب إليك

Sekiranya Allah S.W.T nak menunjukkan kurniaNya kepada kamu, Dia akan cipta amal-amal dan menisbahkannya kepada kamu

Maka hamba yang tidak faham khayal ujub dan menyangka dia telah mencipta amal-amal yang disangka berilham dari dirinya sendiri

Tersangat malu kita pada Allah S.W.T bila ada lintasan begitu wahai diri yang berbangga dengan ciptaan amal yang kononnya kreatif

Ujian itu dari Allah swt


ليخفف ألم البلاء عنك: علمك بأنه سبحانه هو المبلي لك، فالذي واجهتك منه الأقدار هو الذي عودك حسن الاختيار

Untuk ringankan rasa pedih bila diuji; hendaklah engkau ketahui bahawa sesungguhnya Allah S.W.T yang mengujimu. Yang menimpakan taqdirNya keatas mu dan Dia juga yang akan kembalikan kamu dengan memberi pilihan-pilihan yang terbaik

Samada diuji atau tidak diuji kita kena yakin segalanya di tangan Tuhan. Namun manusia ini cepat lupa. Rupa-rupanya dengan ujian dan kepayahan, kita mudah kembali kepadaNYa.

So! Nak tunggu ujian datang baru nak ingat Tuhan?

Pelbagaikan ketaatan kepada Allah swt (1)

Absence Makes The Heart Grow Fonder
البعد يزيد القلب ولوعا

البعد يشخد الحب والقرب يقوّيه
ِAbsence Sharpens Love, Presence Strengthens It

Out Of Sight, Out Of Mind
من بعُد عن العين بعد عن الخاطر

زر أهلك غبّا تزدد حبّا
Ziarahi saudara-saudara mu selang seli, kelak akan bertambah kasih sayang

Manusia Mudah Jemu Dengan Apa Yang Dilihatnya Setiap Hari
الانسان يملّ ما يراه كلّ يوم

Peruntukan masa anda untuk berkatibah, berqiamullail, beriktikaf sorang2 di masjid atau beruzlah sekali sekala di tempat yang sunyi ketika mukhayyam atau sebagainya

Pandanglah kebaikan Allah bila berbicara




Pandanglah kebaikan Allah bila berbicara


من عبر من بساط إحسانه أصمتته الإساءة، ومن عبر من بساط إحسان الله إليه لم يصمت إذا أساء

Sesiapa yang berbicara dalam keadaan memandang kebaikan pada dirinya, maka kesalahanya akan buat dia terdiam

Sedangkan sesiapa yang berbicara dalam keadaan memandang kebaikan pada Allah S.W.T, maka dia tidak akan terdiam walaupun melakukan kesalahan

Jadilah pendakwah dan penceramah yang bebas mengungkapkan apa yang perlu diungkapkan kerana kita merasakan kita adalah wakil Allah S.W.T untuk menyampaikan risalah mulia ini, walau sentiasa rasa tidak layak

Kita lebih mulia bila 'pandang' Allah swt bila kita berucap dan berdakwah

Ramai pemimpin pandang diri ketika memberi ucapan, sangat berbaur dengan hawa nafsu. Pandang Melayu dan bangsa juga sempit. Pandanglah Allah SWT ketika berucap akan tiba keluasan yang tidak bersempadan

Hendaklah sentiasa memandang kebaikan Allah pada diri sendiri

Kita bercakap tentang Risalah Allah bukan tentang risalah kita atau mana-mana risalah organisasi yang kita wakili. Apatah lagi bangsa kita


Respon Pembaca :

Dengan memandang kebaikan Allah kepada diri, maka kita akan terus bersemangat utk berbicara menyampaikan risalah Allah yang mulia ini, walaupun hakikatnya diri kita banyak kekurangan... tapi itu bukan alasan...

Sebagaimana diungkapkan di dalam kisah....

Hassan al-Basri suatu hari menziarahi rumah saudaranya. Beliau berkata kepada salah seorang anak saudaranya: “Bercakaplah dengan kami wahai anak”.

Lalu saudaranya berkata: “Kami belum sampai tahap ini wahai Abu Said”.

Lalu Hassan al-Basri Rahimahullah berkata: “Kenapakah belum sampai tahap ini lagi..Syaitan suka engkau tidak menguatkan hal ini (iaitu syaitan suka manusia meninggalkan saling nasihat-menasihati dengan alasan mereka belum layak lagi). Demi Allah, jika tidak kerana Allah telah tetapkan tugas ulamak pastilah kami tidak berkata yang benar”.

Banyakkan zikir حسبنا الله ونعم الوكيل.




Masih belum jemu untuk mengajak kita semua agar banyakkan zikir حسبنا الله ونعم الوكيل. Nabi Ibrahim mengungkapkannya. Sahabat-Sahabat Nabi S.A.W ketika bergerak ke Badar Sugra melafazkannya juga. 

Pasrah mengatakan; memadai Allah mencukupkan segala urusan kita semua, pasrah mengatakan "Allahlah sebaik-baik Wakil:Pemelihara"....Imam Qurtubi menukilkan dalam tafsirnya dengan ganjaran 4 perkara itu.



Semoga zikir di atas diteruskan. Namun zikir kali ini juga penting. Dicadang untuk diamalkan sebagaimana hadis Nabi SAW

ألا أخبركم بشيء إذا نزل برجل منكم كرب، أو بلاء، من أمر الدنيا دعا به ففرج عنه ؟ دعاء ذي النون : لا إله إلا أنت سبحانك إني كنت من الظالمين

"Mahukah kamu kalau aku beritahu sesuatu yang apabila sesaorang dari kamu tertimpa kesusahan atau malapetaka dari urusan dunia dan ia berdoa dengannya. Lalu dia dilepaskan dengan kesusahan itu? Ia itu doa Nabi Dzannun (Yunus a.s) : “Tiada Tuhan selain Engkau, sesungguhnya aku termasuk 

orang yang dzalim?"


  Ayuh! ulang dan ulang: لا إله إلا أنت سبحانك إني كنت من الظالمين

Siapakah kita di sisiNya?





Siapakah kita di sisi-Nya?


Dan berkata Imam Ibnu Athaillah lagi:

أنت حر مما أنت عنه آيس وعبد لما أنت له طامع


“Engkau merdeka dari sesuatu yang tidak engkau inginkan dan menjadi hamba kepada sesuatu yang kau harapkan.”

Bayangkan siang malam kita fikir nak cari duit, kita akan jadi hamba kepada duit. Kita dikira merdeka kalau kita tidak fikirkan cari duit siang malam.


Fikirkan dan bayangkan yang kita setiap hari tercari-cari Allah, samada Dia melayan kita atau Membiarkan kita. Tercari-cari Alllah itu mengesahkan kita adalah hambaNya.


Ya berusaha mencari rezeki tak salah, malah itu kewajipan. Tapi sampai mengejar siang malam sehingga turun ke makam 'hamba' itu yang menjadi ingatan buat kita semua.

Urus dosa diri

"Apabila seorang hamba menasihati sahabatnya secara tertutup: Maka Allah akan memperlihatkan padanya keburukannya sendiri, maka sibuklah dia mengurus dosa-dosanya sendiri dan tidak sempat sibuk dengan aib orang lain"

إذا نصح العبد لله تعالى في سره: أطلعه الله تعالى على مساوي عمله، فتشاغل بذنوبه عن معايب الناس

Kata Sheikh Muhammad Ahmad Ar-Rasyid dalam العوائق Benar sungguh kata-kata Zainal Abidin Ali itu kerana pengetahuan kita tentang aib kita sendiri dan sibuk menyesalinya adalah Rahmat Ilahi.

3 bilik

Manusia biasanya, dalam kepala mereka ada tiga bilik tertentu.

Bilik 1. Sibuk dan terkenag dengan sejarah yang telah berlalu. Sedih atau gembira dan berbangga atau menyesal terhadap apa yanh telah berlalu.

Bilik 2. Sibuk dengan isu-isu semasa. Menyalahkan atau berbangga dengan apa yang berlaku atau apa yang dilakukan. Suka beri komentar terhadap apa yang berlaku. Pengkritik sepenuh masa.

Bilik 3. Sentiasa memikirkan masa hadapan dan apa sumbangan dan penyelesaian yang boleh disumbangkan. Bilik ini sangat sempit bagi orang yang berfikiran negatif.

Ayuh besarkan bilik 3 tanpa menafikan bilik 1 dan 2. Jadilah kita penyumbang kepada masa hadapan. Persiapan buat "day after".



Bila bertaubat dan beristighfar, bilik satu kena besarkan. Penuhi rasa menyesal, rasa bersalah, rasa tak patut buat, tuduh diri kita selalu... buang rasa riya', takabbur dan ujub dari bilik ini..




Respon Pembaca :


Pada dinding bilik 1, bilik 2 dan bilik 3 kena ada hiasan peringatan akhirat supaya neraca akhirat sentiasa menjadi pertimbangan kita setiap kali menziarahi bilik2 tersebut.




Bilik 1 ialah bilik ber’sejarah’. Terdapat di dalamnya bahan-bahan antik yang mahal ‘harga’nya pada hari ini. Ada juga bahan-bahan yang tidak diperlukan. Ada juga bahan-bahan yang ada atau tiada, tidak memberi kesan apa-apa. Pemilik kena bijak memilih dan menyusun atur agar bilik ber’sejarah’ ini ada manfaat kepada Pemiliknya. Mohon kepada Maha Pencipta untuk menunjukkan pilihan yang terbaik.
Bilik 2 ialah bilik ‘semasa’ dan menjadi ‘ruang utama’ pemilik rumah. Terdapat pelbagai isu yang perlu diteliti, dihayati, ada yang memerlukan komentar, ada yang lebih baik diam sahaja. Bilik ini perlu di’hias’kan dengan hiasan ‘amal’ yang memberi ‘ketenangan’ kepada pemiliknya dan juga kepada ‘tetamu’ yang hadir.
Bilik 3 ialah bilik ‘wawasan’. Bilik ini hendaklah menjadi ke’utama’an pemilik rumah. Ya, apa wawasan ‘akhirat’ anda?

Sayonara Jahiliyah


Cuba mengasak ke dalam jiwa mereka apa itu jahiliyah. Nabi ada jiwa "tercari-cari" sebelum wahyu diturunkan. Benci jahiliyah dan tercari-cari kebenaran. Kita semua kena kekalkan "jiwa tercari-cari". Dalam fatihah kita baca "Tunjukkan kami jalan yang lurus......"

5 perkara yang Nabi buat, untuk pastikan jahiliyah dikikkis dan dikikis. Apa yang tidak menepati 5 perkara ini, tanda ada karat2 jahiliyah. Seorang pejuang kena proses:

1. Pastikan aqidah mantap
2. Ibadah sahihah
3. Akhlak yang mulia
4. Memilih dan tukar manhaj hidup baru
5. wala' kepada Allah, rasul dan jemaah Islam bukan (pemerintah yang....dan....)

Ana bawa pandangan Dr Syaraf Qudhah:

Untuk berjaya ujian di pentas dunia, kita semua kena jawab soalan peperiksaan. Silibusnya:

1. Laksanakan semua perintah Allah
2. Tinggalkan laranganNya
3. Syukur bila dapat nikmat
4. Sabar bila diuji



Nabi saw mulakan tarbiyah untuk selesaikan dan kikis jahiliyah di kalangan sahabat-sahabat dan pengikut. Tidak mungkin selesai dengan satu ceramah atau menjadi ahli sesuatu organisasi dakwah sahaja. Tarbiyah antaranya kikis karat jahiliyah. Tidak mungkin mampu kikis secara seorang-seorang... nanti di tengah jalan baru kita kata rupa-rupanya masih tidak jelas lagi si dia atau si anu itu...

Kuasa akan tiba tanpa dipinta

Imam Sheikh Abdul Qadir Jailani yang disebut Sultan Auliya’ (saya tidak setuju gelaran itu) sebenarnya beraqidah Salaf berjiwa Sufi dan pendakwah Haraki pada zamannya berpesan:

1. Laksanakan Dakwah
2. Allah akan serahkan kuasa dan pemerintahan
3. Allah akan beri kemampuan untuk sabar menghadapi cabaran dan mehnah-mehnah
4. Mampu laksana Manhaj Tagyir

"إذا صلح قلب العبد للحق عز وجل، وتمكن من قربه، أعطى المملكة والسلطنة في أقطار الأرض، وسلم
إليه نشر الدعوة إلى الخلق، والصبر على أذاهم يسلم إليه تغيير الباطل، وإظهار الحق".

Apabila betulnya hati seorang hamba itu kepada Al­lah S.W.T. dan berjaya menghampirkan diri kepadaNya, Dia akan mengurniakan kepada hamba tersebut kerajaan dan kekuasaan di seluruh alam. Dia menyerahkan kepadanya kerja mengembangkan dakwah kepada makhlukNya, dikurniakan kepadanya kesabaran terhadap gangguan manusia, serta diserahkan kepadanya urusan mengubah kebatilan dan menegakkan kebenaran.”



Teruskan berdakwah dengan bijaksana, Allah akan kurniakan kita kerajaan di bumi ini. Bila miliki kerajaan, kita laksanakan al-Amru bil makruf dan Nahi Annil Mungkar. Jangan gila kuasa dan pangkat. Kuasa dan pangkat akan mencari orang yang laksanakan dakwah.


Mazhab tidak salah, aliran sufi tidak salah, pelbagai organisasi dakwah tidak salah, senjata keris tidak salah...


Betulkan kefahaman bermazhab, betulkan penglibatan dengan amalan sufi, wala' kepada organisasi Islam tidak boleh melebihi wala' kepada Allah dan Rasul...


Jangan puja keris atau mendewakannya, kekallah keris sebagai salah satu senjata, memiliki senjata adalah sunnah...

Jangan Tangguh Kerja

The Early Bird catches The Worm

الطائر المبكر يفوز بالدودة

باكِرْ تسعَدْ

البركة فى البُكور

مَنْ سبقْ شمَّ الحَبَق

Jangan tangguh-tangguh kerja. Tepati masa. Ummat Islam kena membawa pengalaman berbuka puasa tepat pada masanya "on the dot". Puasa adalah rukun Islam. Puasa dan berbuka juga mengajar erti punctuality. Saya tidak malu mengajak orang Melayu, yang mengaku Islam, agar belajar dari tetangga Cina kita yang belum Islam, dalam bab ini.

Jiwa Pemimpin

Seorang pemimpin kena rasa dia lebih dekat ke neraka dari ke syurga bila dia sedang muhasabah diri......

Seorang pemimpin kena rasa dia lebih dekat ke syurga dari ke neraka bila dia sedang memotivasi diri......


Setiap zaman ada pemimpin, setiap tempat ada pemimpin.


Pemimpin belajar dan terus belajar...


Musa a.s. belajar dari Khidir a.s.

Manfaat Yang Lama, Bentuk Identiti Baru

Besi-besi buruk yang dibuang dan terbuang. Biasanya ia mudah berlonggok dan dilonggokan. 

Ia berkarat. Cecair karat itu boleh mengkaratkan besi lain. Jangan biarkan ia diusung ke sana ke mari.

Ia hanya boleh dimanfaatkan dengan di"bakar" sehingga cair dan terbentuk identiti baru. 

Moga hati dan tubuh kita tidak berkarat. Cintailah pemimpin yang bertaqwa yang tidak mengejar popular dan habuan dunia. Ayuh! doakan semua....

Penolakan itu Pemberian


Dan berkatalah Ibnu Athaillah lagi:

مَتَى فَتَحَ لَكَ بَابَ الَفهْمِ فِي المَنْعِ، عَادَ المَنْعُ عَيْنَ العَطَاءِ

Apabila Allah membukakan pintu faham kepadamu dalam urusan penolakan (tidak memaqbulkan hajatmu) , maka menjadilah penolakan itu sebagai pemberian

Ramai merasa hampa bila Allah menolak dan tidak memberi kita sesuatu. Bila kita teliti semula, bila kita semakin faham dalam hubungan kita dengan Pencipta yang Maha Pengasih itu, akhirnya kita tahu bahawa tidak memaqbulkan hajat kita itu adalah sebahagian dari kurniaanNya kepada kita.

Sebagai hamba yang haraki berjiwa sufi: yang kita kejar 'perhatian' Allah kepada kita. Apa yang kita dapat perkara kedua. Memaqbulkan doa mahupun menolaknya; keduanya adalah perhatian Allah kepada kita.

Siapa tahu yang kita minta itu tidak baik buat kita. Siapa tahu yang kita tidak minta itu baik buat kita.

Semoga hadir "faham" dalam diri saya dulu.....

Sinar Cahaya Keyakinan

Maka berpesan Ibnu Athaillah lagi:

لَو أَشْرَقَ لَكَ نُورُ اليَقِينِ لَرَأَيْتَ الآخِرَةَ أَقْرَبَ إِلَيْكَ مِنْ أَنْ تَرْحَلَ إِلَيْهَا، وَلَرَأَيْتَ مَحَاسِنَ الدُنْيَا قَدْ ظَهَرَتْ كسْفَةُ الفَنَاءِ عَلَيْهَا

Seandainya cahaya keyakinan menyinarimu, nescaya engkau dapat melihat akhirat itu lebih dekat kepadamu dari engkau berjalan menujunya. Dan engkau akan melihat keindahan dunia diselaputi gerhana kefanakan.

Kehidupan di dunia ini sementara. Oleh itu kita akan fokus kepada kehidupan abadi. Kalau kita melihat menggunakan mata hati, kita akan terasa pendiknya kehidupan ini dan begitu cepat alam akhirat mengejar kita.

Ketika itu, kita tidak akan leka dengan keindahan dunia, kerana asyiknya kita dengan persediaan kehidupan akhirat, mengkaburi kelazatan hidup yang sementara ini.

Ayuh! beramal, berdakwah, bertarbiyah, bertanzim dan berjihad; itu semua menepis kita dari kesibukan dunia lain yang melalaikan.

Pemimpin..Dengarlah dari orang bawahmu

Malu kepada Nabi Sulaiman a.s yang memimpin kerajaan besar; tapi tidak hanya bersedia mendengar dari "menteri-menterinya" sahaja.... ketika berjalan dengan gagah perkasa dengan bala tentera, masih sanggup mendengar walau dari semut di bawah kakinya.

حَتَّىٰ إِذَا أَتَوْا عَلَىٰ وَادِ النَّمْلِ قَالَتْ نَمْلَةٌ يَا أَيُّهَا النَّمْلُ ادْخُلُوا مَسَاكِنَكُمْ لَا يَحْطِمَنَّكُمْ سُلَيْمَانُ وَجُنُودُهُ وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ

(Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke "Waadin-Naml", berkatalah seekor semut: "Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari".

فَتَبَسَّمَ ضَاحِكًا مِّن قَوْلِهَا

Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu,

Wahai Pemimpin! Dengarlah juga dari orang bawah sebawah-bawah-bawah-bawah-mu....

Wahai Pemimpin! Jangan susah hati bila orang bawah sebawah-bawah-bawah-bawah-mu ingin bercerita denganmu....

Wahai Pemimpin! Jangan halang orang bawah sebawah-bawah-bawah-bawah-mu yang ingin mengadu....

Jangan buat keputusan melulu....

Dengarlah dari orang bawahmu yang kadang-kadang lebih tahu apa yang sedang berlaku..

Perhatikan siapa rakan anda..

Maka berkatalah lagi Ibn Athaillah lagi:

ربما كنت مسيئا فأراك الإحسان منك صحبتك من هو أسوأ حالا منك

"Barangkali engkau ada melakukan keburukan dan masih menyangkanya kebaikan kerana engkau berkawan dengan orang-orang yang lebih buruk dari engkau sendiri"

Kita rasa kita hebat kerana kita dilingkungi oleh orang-orang yang lemah.
Kita rasa kita baik kerana kita dilingkungi oleh orang-orang yang teruk.

Kita rasa alim bila kita dikelilingi oleh orang-orang yang jahil.
Kita rasa mulia bila kita dikelilingi oleh yang yang hina.

Kita rasa kaya bila kita hidup dengan orang-orang miskin.

Kita rasa kita paling solih kerana kita berkawan dengan orang-orang yang banyak dosa

Hari Yang Dinanti

HARI YANG DITUNGGU-TUNGGU

Apa sahaja kejayaan kita, ketika memberi sumbangan (kalaupun ada), cepat-cepat lupakan.

Fikirkan apa lagi sumbangan yang boleh kita ciptakan. Kalau banyak cikadaknya, cari medan lain.

Yang penting burulah satu hari yang sangat berharga, tanpa redha manusia pun, kita akan menempuhnya dengan kejayaan:

اللّهمَ اجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ وَأَنْتَ رَاضٍ عَنَّا

"Ya Allah! jadikanlah hari terbaik kami, hari kami akan bertemu denganMu dalam keadaan Engkau Redha kepada kami"

Senaraikan nikmat Tuhanmu


Dalam aktiviti dunia training, kita selalu diminta menulis dan menyenarai Nikmat, Ilmu dan Hikmah Allah yang kita rasai dan lalui. Terkial-kial peserta menulis, kerana tidak biasa melakukan aktiviti begini.

Selepas dirangsang, akhirnya mereka menulis, dan mereka dapati banyak dan banyak....

Ada yang tanya apa dalil kita minta diri dan orang lain buat begitu....

Tentu anda akan jumpa dalilnya apabila membaca surah Kahfi, baca dari awal, dan terus baca sehingga ayat ke 109. pasti anda akan jumpa....

Hari ini hari Jumaat, ya...baca dan jelmakan dalam kehidupan, selamat membaca ya...


قُل لَّوْ كَانَ الْبَحْرُ مِدَادًا لِّكَلِمَاتِ رَبِّي لَنَفِدَ الْبَحْرُ قَبْلَ أَن تَنفَدَ كَلِمَاتُ رَبِّي وَلَوْ جِئْنَا بِمِثْلِهِ مَدَدًا

Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan".

Pelbagaikan ketaatan mendekatkan diri kepada Allah

Ibnu Atahillah meninggalkan kepada kita perbendaharaan ilmu. Kita berpeluang mencungkilnya. Oleh kerana zaman berbeza dan fenomena berbeza; kita cuba juga memahaminya.

"Ketika Allah S.W.T mengetahui bahawa engkau mudah jemu, Maka dia warnai (pelbagaikan) ketaatan (ibadah). Dan ketika Dia Mengetahui yang engkau juga rakus, maka Dia bataskan (rasa kurang) kita pada masa-masa tertentu. Supaya kita tumpukan kepada ibadah solat. Solat bukan sekadar buat, kerana tidak semua yang solat itu benar-benar mendirikannya"

لَمَّا عَلِمَ الحَقُّ مِنْكَ وُجُوْدَ المَلَلِ لَوَّنَ لَكَ الطَاعَاتِ، وَعَلِمَ مَا فِيْكَ مِنْ وُجُودِ الشَّرَهِ فَحَجَرَهَا عَلَيْكَ فِي بَعْضِ الأوْقَاتِ: لِيَكُوْنَ هَمُّكَ إِقَامَةَ الصَلاَةِ، لَا وُجُوْدَ الصَلَاةِ؛ فَمَا كُلُّ مُصَلٍّ مُقِيْمٌ



Syukur kerana Allah S.W.T pelbagaikan kepada kita ketaatan atau ibadah. Kita tahu yang wajib, yang sunat, yang sunnah, yang utama dan yang penting. Malah yang sesuai dengan keperluan dan umur kita pula.

Ada yang tumpu pada wajib sahaja, sehingga keringlah hidupnya dari kemanisan lain.

Ada yang tumpu satu ibadah sahaja, lalu tidak dapat meghayati kenapa Allah pelbagaikan.

Ada yang ditakutkan dengan bida'ah, tanpa terus mengkaji, lalu tidak melakukannya.

Allah beri kita ujian anak tak bersama perjuangan; malah jauh dari Islam. Ada yang diuji kesihatan atau kebahagiaan rumahtangga atau kesempitan rezeki, hutang. Ada yang diuji dengan gangguan,sihir atau saka.

Kesempitan dan keterbatasan itu mengherit kita untuk pelbagaikan ketaatan dan ibadah serta tambah kualiti dan kuantiti solat.

Pelbagaikan ibadah seperti infaq samada kepada fi sabilillah, orang miskin, anak yatim, mangsa bencana alam, sahabat yang kepayahan....

Pelbagaikan ketaatan seperti dengan banyakkan zikir, tambah wirid quraan, iktikaf, puasa, ziarah.

Pelbagaikan ketaatan dengan sabar dengan jamu sahabat handai, MEMANCING dan melihat kebesaran Allah juga salah satu ketaatan dan ibadah. Banyak dan banyak lagi...

Tambah kualiti dan kuantiti solat sangat penting untuk rapat dan rapat kepada Ilahi....

Ya Zal Jalali Wal Ikram

Allah S.W.T minta kita banyakkan berzikir. Terdapat banyak Hadis Nabi S.A.W yang menganjurkan untuk kita berzikir. Para ulama' memetik dari khazanah kitab-kitab hadis untuk diamalkan oleh murid-muridnya.

Salah satu dari himpunan "Ayat 4" yang diamalkan pahlawan-pahlawan Islam ketika berlaku peperangan ialah:

يَاذَا الجَلاَلِ وَ الإِكْرَامِ

Selepas mengkaji, kita akan jumpa bahagian kempat dari ayat 4 itu, ada dalam kitab hadis. Sebahagian ulama' hadis mengatakannya dhoif dan sebahagiannya mengatakannya gharib. Ada juga yang menshohihkannya. Ini sebagaimana dipetik pada Jamie Shorir Imam Sayuti:

أَلِظُّوْا بِيَاذَا الجَلاَلِ وَ الإِكْرَامِ

"Terus meneruskan mengungkapkan Ya Zal Jalali Wal Ikram"

ألزموها .. واكثروا منها .. وداوموا عليها

الراوي: أنس بن مالك و ربيعة بن عامر المحدث: الألباني - المصدر: صحيح الجامع - الصفحة أو الرقم: 1250
خلاصة حكم المحدث: صحيح


Maka marilah kita banyakkan zikir ini...

Rasa Sayu... mengadulah kepada Allah..

Kekadang kita terasa sayu, disebabkan banyak faktor. Ujian, kepayahan atau cabaran boleh membuat kita berasa sayu.

Ada ketika kita rasa sayu tanpa sebab-sebab yang jelas.

Kesayuan itu akan menyebabkan kita terasa untuk mengadu kepada Allah S.W.T.

Bila kita mengadu pada Allah S.W.T, maka kita akan pandai untuk memohon kepadaNya pelbagai perkara. Kita akan pandai merayu kepadaNya.

Menurut ilmu yang diajar oleh Ibnu Athaillah, selepas beliau menguasai ilmu Islam dan pengalaman sebagai hambaNya, beliau ada mengunggkapkan:

مَتَى أَطْلَقَ لِسَانَكَ بِالطَّلَبِ، فَاعْلَمْ أَنَّهُ يُرِيْدُ أَنْ يُعْطِيَكَ

"Ketika Allah Meringankan lidahmu utuk memohon dan meminta kepadaNya, maka ketahuilah bahawa Dia ingin mengurniakan kepadamu"

Berhati-hatilah kalau ada ketika dalam hidup ini, kita tidak pandai meminta dan merayu kepada Allah S.W.T...

Dalam perjuangan dan perjalanan hidup ini; ketika berdakwah,ketika melaksanakan tarbiah, ketika beraktivisma bermesyuarat dan bersyura, ketika berkerjaya, belajar, berniaga...jangan sampai kita kering dan putus idea untuk memohon kepadaNya.

Kalau hati kita keras dan tidak boleh mencipta permohonan kepada Allah S.W.T, atau tidak khusyu' ketika memohon dariNya; itu tanda Allah S.W.T tidak mahu "mengurniakan" kepada kita....

Jiwa Bersih Lidah Fasih

Kalau anda pernah baca kitab Muntalaq anda akan jumpa kata-kata ini:

قال يحيى بن معاذ أحسن شيء : كلام رقيق , يستخرج من بحر عميق على لسان رجل رفيق

Berkata Yahya ibnu Muaz: 

"Sebaik-baik perkara ialah: Perkataan yang lembut, yang dikeluarkan dari lautan yang dalam, daripada lidah seorang yang lemah-lembut"

1. Dalam banyak-banyak ayat Quraan, hadis nabi atau kata-kata hukama' pilih yang sesuai untuk anda ungkapkan. Kalau mampu ungkapkanlah sendiri dari ciptaan perkataan anda yang indah

2. Pastikan anda bertambah ilmu setiap hari. kalau tidak mampu menjadi alim bagaikan lautan yang dalam; berinteraksilah dan pastikan anda ada hubungan dengan mereka yang alim

3. Pastikan lidah anda fasih, hadiri latihan untuk itu. Pastikan anda berjiwa bersih dan tinggi mulia pekerti dan hati budi.

Dengan tiga perkara ini, Tarbiah mampu melahirkan barisan saf para pendakwah yang.....



وَإِذَا رَأَيْتَهُمْ تُعْجِبُكَ أَجْسَامُهُمْ ۖ وَإِن يَقُولُوا تَسْمَعْ لِقَوْلِهِمْ ۖ..........

Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati kepada
tubuh badan mereka (dan kelalukannya); dan apabila mereka
berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (Surah Al-Munafiqun)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...